KUALA LUMPUR – Dua buah rumah musnah sepenuhnya dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 dekat sini semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kedua-dua buah rumah berkenaan merupakan yang paling hampir dengan lereng bukit.
“Mangsa ketiga, keempat dan kelima yang meninggal dunia merupakan penghuni dua rumah berkenaan. Mereka cuba keluar dari tempat kejadian tapi tidak sempat dan ditimpa tanah,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.
Jelas Norazama, pihak bomba akan terus berada di lokasi bagi memantau perkembangan semasa.
“Selepas ini kita akan bersedia memantau situasi sebab bergantung dengan cuaca,” katanya lagi.
Sebagai rekod, insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 dekat sini berlaku pada petang semalam telah meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan.
Selain itu difahamkan, sebanyak 15 buah rumah dan 10 kenderaan turut terjejas.
Operasi mencari dan menyelamat kelima-lima mangsa yang dilaporkan tertimbus itu bermula sebaik bomba menerima panggilan kecemasan pukul 5.54 petang dan berakhir pada 1.59 pagi tadi. -MalaysiaGazette