Home Utama Ada rekahan tanah, 200 penduduk sekitar Taman Permai diarah kosongkan rumah

Ada rekahan tanah, 200 penduduk sekitar Taman Permai diarah kosongkan rumah

landslide tanah runtuh bukit permai 2 ampang
Residents of Taman Bukit Permai 2, Ampang, Kuala Lumpur evacuating to a safer place following the landslide. PIX: MUHD NA'IM / MalaysiaGazette / 11 MARCH 2022. Penduduk terpaksa berpindah ke kawasan lebih selamat berikutan kejadian tanah runtuh ketika tinjauan Malaysia Gazette di Taman Bukit Permai 2 Ampang, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 11 MAC 2022

KUALA LUMPUR – Lebih 200 penduduk melibatkan 48 rumah di Taman Bukit Permai 2, Ampang diarah mengosongkan kediaman mereka susulan terdapat rekahan tanah yang dikhuatiri menyebabkan pergerakan tanah di lokasi kejadian tanah runtuh itu.

Pegawai Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad berkata arahan mengosongkan kediaman itu adalah serta-merta bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa melakukan kajian terperinci.

“Sebanyak 48 rumah di empat lorong diarah untuk dikosongkan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku memandangkan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

“Kami ada menyediakan pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang terletak berhampiran dengan lokasi kejadian,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian di sini hari ini.

Ani berkata setakat ini tiada mangsa tinggal di PPS berkenaan kerana ada yang memilih untuk tinggal di rumah saudara, hotel dan inap desa berdekatan.

Namun, katanya PPS berkenaan sentiasa dibuka kepada penduduk yang mahu tinggal sementara di sana.

Ani berkata satu pusat pengurusan bencana daerah melibatkan kerjasama beberapa agensi antaranya MPAJ; Jabatan Kerja Raya; Polis Diraja Malaysia; dan Jabatan Bomba dan Penyelamat diwujudkan bagi merangka strategi lebih teratur dalam mengendalikan kejadian itu.

“Setakat ini kerja-kerja pembersihan tidak boleh dilaksanakan kerana perlu melihat aspek kestabilan cerun berkenaan,” katanya.

Kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 5.54 petang semalam meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyebabkan 15 rumah serta 10 kenderaan rosak.

— BERNAMA