Home Nasional Kompaun RM70,000 kepada pemilik, pengunjung pusat hiburan ingkar SOP

Kompaun RM70,000 kepada pemilik, pengunjung pusat hiburan ingkar SOP

compounds entertainment outlets nightclubs pub SOP violation
Pemilik dua premis pusat hiburan di ibu kota dan pengunjungnya dikenakan kompaun kerana melanggar arahan prosedur operasi standard (SOP) melibatkan Covid-19 malam tadi.- Gambar ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Pemilik dua premis pusat hiburan di ibu kota dan pengunjungnya dikenakan kompaun kerana melanggar arahan prosedur operasi standard (SOP) melibatkan Covid-19 malam tadi.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, pihaknya telah mengenakan kompaun bernilai RM1,000 kepada dua pemilik pemis berkenaan.

Manakala seramai 11 orang pengunjung di premis pertama dan 57 orang pengunjung di premis kedua juga turut sama dikenakan kompaun bernilai RM1,000 setiap individu menjadikan jumlah keseluruhan kompaun bernilai RM70,000.

“Hasil serbuan mendapati pusat hiburan tersebut telah beroperasi dengan melakukan kesalahan melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam yang masih dikuatkuasakan ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak awal tahun hingga kini, JPJKK Kuala Lumpur telah berjaya mengeluarkan sebanyak 521 kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM521,000 ke atas pemilik premis dan pengunjung pusat hiburan di sekitar ibu kota.

Kesemua kompaun dikeluarkan mengikut Akta 342 APPPB yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan.

Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19 demi keselamatan umum.

Operasi seperti ini akan terus dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa dalam usaha membantu kerajaan mengawal penularan Covid-19. – MalaysiaGazette