KOTA TINGGI – Tinggal beberapa jam dari sekarang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal berakhir dan sudah pasti calon-calon parti politik yang bertanding akan memanfaatkan saat akhir ini untuk merayu serta memikat hati pengundi dengan kreativiti masing-masing.
Bagi calon Perikatan Nasional (PN) kerusi N38 Penawar, Mohd Faizal Asmar, beliau lebih selesa memilih cara lama menyantuni pengundi dari rumah ke rumah.
Walaupun Faizal tidak asing kepada peneroka Felda di sini, namun beliau tetap memilih untuk bersua muka sambil mengedarkan bahan kempen termasuk poster, payung, t-shirt dan pelitup muka kepada masyarakat tanah rancangan itu.
Faizal yang lebih dikenali dengan panggilan Bujal sempat meluangkan masa berbaki selepas solat Jumaat untuk menyantuni peniaga-peniaga makanan di Medan Selera di Felda Bandar Mas yang rata-ratanya amat mengenali beliau.
Anak kelahiran Felda Sungai Mas itu bukan sahaja meraih undi bahkan mengedarkan baju t-shirt berwarna putih yang terpampang wajahnya dengan mesej Bujal Bro Bantu Ramai Orang.
Kemudiannya Faizal mengakhiri siri kempennya yang terakhir dengan melakukan aktiviti konvoi bermotosikal bersama lebih 30 anak muda dengan mengelilingi seluruh penempatan Felda Air Tawar 5 petang tadi.
Meskipun konvoi motosikal itu kurang 30 minit sahaja, namun itu antara kaedah agak berkesan untuk meraih undi walaupun dianggap ‘old school’, mudah difahami orang ramai dan mesej mudah sampai kepada golongan sasar. – MalaysiaGazette