JOHOR BAHRU – Rakyat di negeri Johor mula menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRN Johor hari ini sebaik pintu Pusat Mengundi (PM) dibuka bermula jam 8 pagi.
Tidak terkecuali, calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya, Chan San San yang mengundi di Sekolah Agama Tun Hussein Onn Plentong, di sini.
“Nak kata berdebar, saya tak berdebar sangat la,” kata San San kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas selesai mengundi.
Beliau yang berkemeja putih dan berseluar hitam hadir sendirian pada pukul 8.10 pagi dan mengundi di saluran 6 di tingkat 1 bangunan sekolah ini.
Bekas Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) itu juga menyeru supaya pengundi di Johor Jaya yang layak mengundi hari ini untuk keluar mengundi awal dan bukan pada saat akhir.
“Saya juga nk ucap selamat bertugas kepada ejen-ejenĀ dan semua petugas SPR,” tambahnya.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 10 saluran dibuka di Pusat Mengundi Sekolah Agama Tun Hussein Onn Plentong sehingga jam 6 petang untuk 6,107 pengundi.
Untuk rekod, seramai 2,539,606 orang pengundi biasa di negeri ini akan mengundi hari ini sempena PRN Johor ke-15.-MalaysiaGazette