Home Nasional Biarpun uzur, generasi pertama Felda Sungai Mas keluar mengundi

Biarpun uzur, generasi pertama Felda Sungai Mas keluar mengundi

KOTA TINGGI – Seawal jam 7.45 pagi pusat daerah mengundi (PDM) di Sekolah Kebangsaan LKTP Sungai Mas di sini dibuka kepada orang ramai untuk membolehkan mereka membuang undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi kerusi N38 Penawar, hari ini.

PDM terbabit terletak di dalam kawasan tanah rancangan Felda dan kebanyakan pengundi memilih untuk keluar lebih awal menunaikan tanggungjawab mereka seawal jam 7.50 pagi tadi.

Menurut petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini, terdapat lapan saluran di SK LKTP Sungai Mas membabitkan 4,700 pemilih yang layak mengundi pada PRN Johor kali ini.

Menariknya sebaik sahaja PDM ini dibuka, saluran pertama dan kedua antara saluran mengundi yang paling ramai datang membuang undi sejak awal pagi ini.

Ramai dalam kalangan pengundi ini hadir menggunakan kerusi roda memandangkan majoriti mereka adalah peneroka Felda generasi pertama di sini yang rata-ratanya berusia lebih 70 tahun.

Tinjauan MalaysiaGazette sejak jam 7.45 pagi mendapati ada pengundi warga emas ini datang menggunakan kerusi roda elektrik dan ada juga diiringi anak dan waris masing-masing.

Walaupun mereka kelihatan uzur dan perlu diiringi anggota keluarga, namun pengundi warga emas ini kelihatan bersemangat untuk memilih calon masing-masing.

MalaysiaGazette turut dimaklumkan, dari 4,700 pengundi di PDM di sini, lebih separuh daripadanya merupakan pengundi dalam kalangan anak peneroka Felda generasi kedua. – MalaysiaGazette