Home Nasional Calon BN Semerah ajak keluar undi awal bimbang petang hujan

Calon BN Semerah ajak keluar undi awal bimbang petang hujan

Mohd Fared menunjukkan isyarat bagus dan jari telunjuknya selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan Bagan, pagi ini.

BATU PAHAT – Calon Barisan Nasional (BN) DUN Semerah, Mohd Fared Khaled bersyukur kerana dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di kawasan yang ditandinginya.

Beliau hadir ke Sekolah Kebangsaan Bagan dekat Semerah berseorangan selepas menghantar ibunya mengundi di Sekolah Kebangsaan Sekawan Desa.

Beliau tiba di sekolah tersebut pukul 9 pagi dengan berpakaian baju kemeja batik warna biru.

“Alhamdulillah, pagi ini saya dapat bersama dengan pengundi-pengundi lain menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.

“Pagi tadi dalam pukul 8.15 saya hantar emak pergi mengundi terlebih dahulu di Sekolah Sekawan Desa dan kemudian bawa dia pulang.

“Lepas itu barulah saya datang ke sini untuk mengundi…tak apalah walaupun tempat undi tak sama tapi kita ikut sajalah (keluar undi),” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Mohd Fared memberitahu, beliau bangun dari tidur pukul 5 pagi tadi dan kemudian menunaikan solat Subuh.

Katanya, selepas itu beliau menziarahi pusara bapanya dan pulang ke rumah untuk bersarapan bersama ibu dan adik beradiknya yang lain.

“Kami semua keluar awal hari ini untuk elak kesesakan di tempat mengundi selain ia lebih selesa kerana cuaca tidak panas,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Fared menyeru agar pengundi-pengundi di kawasan DUN Semerah tidak mensia-siakan peluang untuk keluar mengundi bagi memilih calon yang mampu memberi kestabilan untuk masa depan mereka.

Tambahnya, mereka perlu membuat semakan bagi mengetahui saluran untuk mengundi dan yang paling penting wajib membawa kad pengenalan.

“Saya nasihatkan keluarlah awal untuk mengundi… jangan lewat bimbang sebelah petang cuaca hujan,” katanya.

DUN Semerah menyaksikan pertembungan lima penjuru dengan BN meletakkan Mohd Fared; Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra), menampilkan Prof Madya Dr Kamarolzaman Mohd Jidi; calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Ariss Samsudin; calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mahdzir Ibrahim dan calon yang juga penyandang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Pada PRU14, Khuzzan menang di kerusi DUN Semerah dengan majoriti tipis 98 undi menewaskan calon BN, Mohd Ismail Roslan dan calon Pas, Ustaz Wan. – MalaysiaGazette