Home Politik Hishammuddin, Vidyananthan selesai mengundi di DUN Kahang

Hishammuddin, Vidyananthan selesai mengundi di DUN Kahang

KLUANG – Ahli Parlimen Sembrong merangkap Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien Onn dan isteri, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah selesai mengundi pada jam 11.15 pagi tadi.

Turut smengundi di lokasi sama ialah calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang, R Vidyananthan.

Masing-masing yang  tiba sekitar 10.50 pagi sempat disapa pengundi yang kelihatan teruja melihat calon dan menteri hadir mengundi bersama-sama.

Hishammuddin yang menggunakan saluran dua sempat bergurau meminta Vidyananthan beratur panjang bagi melaksanakan tanggungjawabnya bertempat di Sekolah Agama Taman Sri Lambak.

Sementara itu Vidyananthan memberitahu media perjalanan kempen selama dua minggu lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Calon BN Dun Kahang, R Vidyananthan.

“Saya rasa lega malah malam semalam juga tidak ada apa-apa inisiden kurang senang berlaku. Semua telah berjalan dengan lancar serta berkempen cara sihat dan demokrasi, ini yang kita hendak.

“Kini terpulang kepada pengundi menentukan calon wakil rakyat mereka,” katanya.

Dalam pada itu, pengundi dilihat membanjiri Sekolah Agama Taman Sri Lambak seawal jam 7 pagi bagi memberi komitmen memilih calon pilihan masing-masing.

Seorang petugas yang enggan di enali berkata, keadaan hari ini tidak sesesak semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Namun demikian kata petugas wanita itu, rata-rata yang hadir hari ini terdiri daripada pengundi muda dan baharu.

DUN Kahang menyaksikan empat pertembungan dengan Vidyanathan yang juga bekas Exco kerajaan negeri dan penyandang kerusi DUN Kahang dicabar oleh Daud Yusof daripada Perikatan Nasional, Rohani Banu Abd Rahman Krishnan daripada Pakatan Harapan dan calon Parti Pejuang Tanah Air, Rosdi Amir (Pejuang). – MalaysiaGazette