KUALA LUMPUR – ROHM-Wako Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd. (RWEM), syarikat pengeluar elektronik terkemuka Jepun membesarkan fasiliti komponen elektroniknya di Kelantan dengan pelaburan bernilai RM910 juta.
Pelaburan ini dijangka mewujudkan lebih 340 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Presiden RWEM, Hideki Hashimoto berkata, projek pembesaran ini amat penting untuk pertumbuhan perniagaan dan inovasi syarikat secara berterusan.
”Dengan adanya tenaga kerja yang berkemahiran dan berdaya saing, kami amat yakin dengan keputusan untuk terus melabur di negara ini,” katanya.
Bangunan baharu yang akan dibina dalam premis sedia ada RWEM bakal memenuhi permintaan semikonduktor yang tinggi dan menggalakkan sistem pengeluaran pelbagai lokasi bagi Integrasi Berskala Besar (LSIs), dan transistor selaras dengan Pengurusan
Kesinambungan Perniagaan (BCM).
Pembangunan fasiliti baharu ini akan meningkatkan kapasiti pengeluaran keseluruhan kira-kira 1.5 kali ganda.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, fasiliti baharu ini akan dibina setinggi tiga tingkat dengan keluasan 29,580 meter persegi pada suku pertama 2022 dan dijangka akan siap menjelang Ogos 2023.
Bangunan baharu ini akan dilengkapi dengan teknologi penjimatan tenaga bagi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dan dijangka dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida kira-kira 15 peratus, sekali gus mengukuhkan sistem BCM yang
menggunapakai pelbagai langkah kalis bencana dengan teknologi terkini.
Projek pembesaran ini juga akan meningkatkan kapasiti komponen transistor garis lebar dan pemacu litar bersepadu yang secara amnya digunakan dalam kenderaan elektrik (EV) dan kereta hibrid.
Komponen-komponen ini juga akan digunakan untuk pengeluaran semikonduktor diskret sedia ada seperti diod, diod pemancar cahaya (LED), dan diod laser yang digunakan dalam pelbagai produk perkakasan elektronik seperti audio and video, televisyen, komputer riba serta telefon bimbit.
Ini adalah selaras dengan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 yang memfokuskan pembangunan teknologi baharu dalam sektor mobiliti masa hadapan.
Mengulas mengenai perkara ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin berkata, Projek pembesaran ini menandakan keyakinan syarikat terhadap keupayaan bakat tempatan di dalam bidang kejuruteraan dan juruteknik yang berkemahiran tinggi.
Prestasi pelaburan ROHM-Wako di Malaysia adalah memberangsangkan dengan kemudahan fasiliti perkilangan baharu ini bagimenjana peluang pekerjaan untuk bakat tempatan, menyumbang kepada peningkatan ekonomi masyarakat serta merancakkan pembangunan komersial di negeri Kelantan. – MalaysiaGazette