Home Nasional Berdebar mengundi kali pertama – Remaja

Berdebar mengundi kali pertama – Remaja

Nenek dan enam sekeluarga yang terdiri daripada anak dan cucunya riang turun bersama memangkah untuk memilih kerajaan baharu di Johor di PDM Sekolah Agama Bandar Endau tengahari tadi di Mersing.

MERSING – Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.32 Endau mencuri tumpuan apabila enam sekeluarga termasuk seorang nenek berusia, 83, tahun bersama-sama datang serentak buat kali pertama untuk memangkah kerajaan negeri baharu hari ini.

Paling teruja adalah seorang remaja yang mengundi buat kali pertama.

Berkongsi pengalaman pertamanya kepada pemberita di sini, Noor Syahirah Jumien, 22, berkata, hatinya berdebar-debar kerana kali pertama mengundi dalam Pilihan Raya Negeri.

Noor Syahirah teruja undi kali pertama menggunakan pengalaman memangkah di politik kampus matrikulasi.

“Saya pada mulanya memang takut sebab tak pernah mengundi dan takut tersalah pangkah dan kertas undi tidak diterima.

“Namun semasa menuntut di Matrikulasi dulu pernah menyertai pilihan raya kampus dan ketika itulah  belajar mengundi secara betul, selain dibimbing oleh nenek,” katanya ketika ditemui di pekarangan Pusat Daerah Mengundi Sekolah Agama Bandar Endau tengah hari tadi.

Noor Syahirah merupakan pelajar tahun kedua Sains Komputer dan Informatik Maritim di Universiti Malaysia Terengganu.

Tambah Noor Syahirah proses mengundi hari ini mengajar beliau mengetahui situasi sebenar politik dalam negara berbanding sebelum ini.

Dalam pada itu, neneknya Aishah Sulaiman, 83, menzahirkan kebanggaannya kerana masih memiliki kesihatan yang baik dan boleh keluar mengundi.

“Alhamdulillah, rasa banggalah sebab dikurniakan kesihatan baik oleh Allah untuk berjalan mari dan mengundi kali ini.

Aishah, 83, teruja diberikan kesihatan baik untuk sekeluarga mengundi di DUN Endau dalam PRN Johor kali ini.

“Saya dah mengundi banyak kali tapi tak tahulah dah berapa tahun mengundi,” ujarnya.

Dalam pada itu, kakak Noor Syahirah yang merupakan seorang guru tadika, Noratiqah Jumien, 34 pula berkata, dia yang menetap di Kuala Lumpur mengambil cuti  dan membawa emaknya bersama balik ke kampung supaya dapat mengundi bersama keluarga yang lain.

Noratiqah, guru tadika yang hadir sekeluarga bersama neneknya untuk mengundi di DUN Endau tengahari tadi.

“Kemudian kita merancang malam tadi pukul berapa nak keluar mengundi dan kita pergi bersama untuk memangkah tengahari ini.

“Alhamdulillah risau jugalah musim Covid-19 ini menakutkan tetapi rezeki dapat time orang tak ramai di PDM,” tambahnya lagi.

Setakat jam 12 tengahari tadi, kadar peratusan keluar mengundi di PRN Johor adalah sebanyak 29 peratus bagi seluruh kawasan di Johor berdasarkan data terkini Suruhanjaya Pilihan Raya. -MalaysiaGazette