JOHOR BAHRU – Walaupun sibuk ke sana, ke sini mengejar liputan berita pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun tidak menghalang warga media tempatan melaksanakan kewajipan mereka sebagai warga Johor.
Meskipun mempunyai pilihan untuk mengundi secara pos tetapi rata-rata mereka mahu memangkah pada hari ini.
Wartawan Astro Awani, Firdaus Azil, 37, berkata, biarpun mempunyai pilihan untuk mengundi pos tetapi dia memilih untuk mengundi seperti biasa bagi melihat sendiri pelaksanaan PRN kali ini.
“Memang petugas media boleh undi pos, tetapi saya ingin bersama dengan pengundi-pengundi lain di kawasan ini, memilih calon yang kami rasakan selayaknya menjaga kepentingan kawasan Larkin ini.
“Di samping itu saya harap agar rakyat Johor terus keluar mengundi. Pastikan suara anda melalui undi didengari,” katanya yang mengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin kepada pemberita, di sini hari ini.
Bagi wartawan Malaysia Gazette, Ernalisa Othman, 37, pula mengakui hari ini adalah hari yang sibuk kerana perlu melaksanakan liputan berita pada hari pengundian.
Namun kesibukan itu tidak menghalangnya untuk mengundi.
”Bos saya ingatkan kepada kami khususnya yang mengundi di Johor agar jangan tinggalkan tanggungjawab sebagai seorang warganegara. Jadi walau sesibuk mana sekalipun saya tetap mencari kesempatan untuk mengundi.
“Saya juga bimbang selagi tidak membuang undi, saya tidak dapat fokus kepada tugas harian kerana akan sibuk sepanjang hari,” katanya yang mengundi di DUN Johor Jaya pukul 11 pagi tadi.
Bagi wartawan akhbar Utusan Melayu, Khairul Mohd Ali,37 yang menjalankan tanggungjawabnya kira-kita 1.30 petang tadi juga mengakui lega selepas melaksanakan tanggungjawabnya.
Walaupun pelbagai tugasan terpaksa dilengkapkan sepanjang PRN pada hari ini, bukan halangan untuknya pergi ke pusat mengundi.
“Alhamdulilah selesai semua. Saya harap siapa yang dipilih dengan mandat ini nanti dapat laksanakan amanah yang telah diberi oleh kami semua,” katanya.
Mereka merupakan antara 2.59 juta pengundi yang layak mengundi dalam PRN Johor ini yang menyaksikan pengundi muda berusia 18 tahun dibenarkan mengundi buat pertama kali selepas pendaftaran dibuat secara automatik.- MalaysiaGazette