Home Politik Pas perlu dengar pandangan ahli bawahan – Khairuddin

Pas perlu dengar pandangan ahli bawahan – Khairuddin

khairuddin
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Kekalahan Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor itu biasa, jika menang luar biasa.

Ini kerana, Pas bersedia untuk kalah dan menang dalam pilihan raya kerana neraca kemenangan parti itu bukan pada angka undi tetapi kerja-kerja perjuangan yang dilaksanakan.

Itu reaksi Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berhubung keputusan PRN Johor semalam.

Katanya, meskipun kalah parti itu boleh terus berjihad sebagai pembangkang kepada kerajaan.

”Pembangkang yang mesra dan bersikap matang. Meskipun belum menang di Johor Pas masih akan terus mencuba dengan strategi yang baru untuk PRU mengharapkan kemenangan,” katanya menerusi Facebook.

Parti Pas yang bertanding 14 kerusi hanya menang satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani.

Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus turut meminta kepimpinan Pas untuk mendengar pandangan ahli bawahan dan jentera tempatan yang hidup bergelumang dengan rakyat setempat untuk mengukur baju di badan sendiri.

”Muhasabah boleh dibuat namun ahli tetap akan terus patuh dengan arahan kepimpinan, maka kepimpinan mesti membuat keputusan strategi yang lebih tepat dengan kajian yang lebih halus.

”Kerja dakwah diteruskan. Ahli dan penyokong perlu ditambah dan cawangan-cawangan Pas perlu terus dibuka bermula sekarang. Satu hari kemenangan pilihan raya akan dicipta juga cuma masa sahaja menentukan cepat atau lambat,” ujarnya. – MalaysiaGazette