NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menanam sebanyak 200 anak pokok hutan bernilai tinggi bersempena Program Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 Negeri Sembilan baru-baru ini.
Sebanyak 12 spesis pokok hutan telah ditanam antaranya Kembang Semangkuk Jantung, Sepetir Daun Nipis, Meranti Kepong, Meranti Bunga, Kempas, Mengkulang Jari, Bintangor Laut, Kapur, Cengal dan Merawan Siput Jantan.
Ditanam di Tapak Arboretum USIM, pokok yang diterima merupakan sumbangan daripada Jabatan Perhutanan Negeri, Negeri Sembilan (JPNNS) dan progam penanaman ini adalah simbolik kepada sokongan universiti kepada usaha yang diterajui oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli yang menggerakkan usaha Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 juta pokok.
Melalui kempen ini, disasarkan 100 juta pokok ditanam di seluruh negara dalam tempoh lima tahun dibeberapa kawasan strategik seperti di taman-taman perumahan, taman-taman awam serta institusi pendidikan tinggi.
Perasmian program penanaman ini disempurnakan oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr.Mohamed Ridza Wahiddin yang kemudiannya menyertai 100 orang peserta lain yang terdiri dari kalangan pelajar Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) dan kakitangan universiti untuk menanam pokok.
Menurut Naib Canselor, Dasar Perhutanan Malaysia menyatakan keperluan untuk mengekalkan jumlah kawasan berhutan yang mencukupi untuk kepentingan sosial, ekonomi dan alam sekitar dengan progam seumpama ini dilihat selari dengan intipati yang digariskan dalam Dasar Perhutanan Negara.
”USIM komited untuk menjadi kampus lestari dengan melancarkan Blueprint Kelestarian USIM pada 19 November 2021 yang lepas. Program ini dirangka di bawah Polisi Biodiversiti dan Landskap melalui inisiatif Green Lung dengan permulaan Kempen 1 Warga 1 Pokokā.
”Program seperti ini diharap dapat memangkin sebuah Arboretum dalam kampus bagi menyokong penyelidikan dalam bidang botani, kepelbagaian biodiversiti dan penyelidikan lain yang berkaitan dengannya.
”Koleksi pokok-pokok hutan ini akan dipelihara untuk tujuan penyelidikan, pemuliharaan germplasma dan pendidikan. Selain itu, penanaman pokok-pokok ini akan membantu memulihara sistem ekologi dan kepelbagaian biologi yang stabil dan dapat menyediakan habitat kepada kehidupan liar kecil” ujar Mohamed Ridza.
Melalui program ini juga diharap dapat memupuk kesedaran dalam kalangan warga kampus khususnya dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar selain mempromosikan budaya pendidikan dan penyelidikan tumbuhan tempatan yang bernilai tinggi.
Selain itu, ia turut menjamin kesinambungan berterusan bagi program-program kelestarian USIM di bawah Program Pembangunan Landskap & Biodiversiti, Infrastruktur Hijau dan Kampus Barakah USIM yang antara lain melaksanakan inisiatif menambahkan bilangan pokok teduhan di dalam kampus bagi menyokong usaha membantu Malaysia ke arah Negara Rendah Karbon 2030. – MalaysiaGazette