Home Ekonomi Pulau Pinang rekod eksport E&E tertinggi berjumlah RM26.2b

Pulau Pinang rekod eksport E&E tertinggi berjumlah RM26.2b

KUALA LUMPUR – Jumlah dagangan Malaysia pada bulan Januari 2022 bernilai RM203.0 bilion (peningkatan 24.8 peratus tahun ke tahun) dengan nilai eksport RM110.7 bilion (peningkatan 23.5 peratus tahun ke tahun) dan import bernilai RM92.3 bilion (peningkatan 26.4 peratus tahun ke tahun).

Eksport barangan elektrik dan elektronik bernilai RM44.8 bilion (40.4 peratus daripada jumlah eksport) pada Januari 2022.

Di peringkat negeri, Pulau Pinang mencatatkan eksport tertinggi bagi barangan elektrik dan elektronik bernilai RM26.2 bilion (58.5%), diikuti Selangor (RM6.0 bilion, 13.3%) dan Johor (RM4.8 bilion, 10.7%).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport pada bulan Januari 2022 meningkat sebanyak RM21.1 bilion (+23.5%) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM5.0 bilion), Johor (+RM4.0 bilion), Sarawak (+RM3.7 bilion), Selangor (+RM3.6 bilion), Kedah (+RM1.8 bilion), Sabah (+RM1.4 bilion), Pahang (+RM732.3 juta), Labuan (+RM713.8 juta), Terengganu (+RM511.0 juta), Kuala Lumpur (+RM278.9 juta), Kelantan (+RM66.2 juta) dan Perlis (+RM33.1 juta).

Bagaimanapun, eksport menyusut di Perak (-RM610.2 juta), Melaka (-RM197.9 juta) dan Negeri Sembilan (-RM68.9 juta).

Import juga meningkat RM19.3 bilion (+26.4%) pada Januari 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan import dicatatkan di Selangor (+RM4.7 bilion), Pulau Pinang (+RM4.0 bilion), Johor (+RM3.4 bilion), Kedah (+RM2.4 bilion), Kuala Lumpur (+RM1.6 bilion), Sarawak (+RM1.2 bilion), Negeri Sembilan (+RM673.0 juta), Pahang (+RM525.5 juta), Melaka (+RM151.9 juta), Perak (+RM143.0 juta),
Terengganu (+RM115.1 juta), Sabah (+RM98.2 juta) dan Perlis (+RM22.5 juta).

Walau bagaimanapun, import menurun di Kelantan (-RM162.8 juta) dan W.P. Labuan (-RM37.9 juta).”

Mohd Uzir berkata, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 31.3 peratus, diikuti oleh Selangor (19.0%), Johor (18.3%), Sarawak (7.8%) dan Kedah (4.1%).

Sementara itu, bagi import, Selangor kekal sebagai penyumbang utama dengan 27.3 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (24.4%), Johor (18.9%), Kuala Lumpur (7.0%) dan Kedah (6.6%). – MalaysiaGazette