Home PRN Johor Zahid selesai menghadap Sultan Johor, siapa MB masih jadi tanda tanya

Zahid selesai menghadap Sultan Johor, siapa MB masih jadi tanda tanya

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) dan Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad (kiri) tiba selepas menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar susulan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) kelmarin di Dewan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 14 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Siapa Menteri Besar Johor ke-19 terus menjadi tanda tanya apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid ‘mengunci mulut’ sebaik kembali daripada menghadap Sultan Johor petang tadi.

Ahmad Zahid dilihat kembali semula ke Pejabat Perhubungan UMNO Johor kira-kira pukul 4 petang selepas satu jam menghadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Beliau yang juga Presiden UMNO bersama timbalannya, Datuk Seri Mohammad Hassan dan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad kemudian dilihat naik ke tingkat tiga di bangunan parti itu di sini untuk mengadakan perbincangan.

Kesemua pemimpin berkenaan dilihat turun ke bawah setengah jam kemudian sebelum bergegas meninggalkan Pejabat Perhubungan UMNO Johor.

Usaha pihak media untuk mendapatkan komen daripada Ahmad Zahid, Mohamad dan HasniĀ  tidak berjaya apabila ketiga-tiga mereka enggan mengulas lanjut.

Difahamkan mereka pergi kediaman rasmi Menteri Besar Johor di Saujana bagi mengadakan perbincangan tertutup susulan pertemuan dengan Sultan Johor itu.

Bagaimanapun sepanjang kempen BN dalam PRN Johor, mereka sebulat suara mengekalkan Hasni sebagai MB dan perkara itu sendiri dinyatakan oleh Ahmad Zahid walaupun ada khabar angin melibatkan nama Ahli Dewan Undangan Negeri Rengit, Datuk Puad Zakarshi. -MalaysiaGazette