KUALA LUMPUR – Selepas lebih 24 jam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diumumkan, Menteri Besar Johor yang baharu belum mengangkat mengangkat sumpah telah menimbulkan pelbagai spekulasi.
Setakat berita ini ditulis, Datuk Hasni Mohammad yang dicalonkan Menteri Besar Johor oleh Barisan Nasional (BN) masih belum pasti kedudukannya.
Ini kerana, terdapat khabar angin ada calon lain yang turut ‘bersaing’ dalam pencalonan jawatan itu.
Antara nama yang disebut-sebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri sebelum ini.
Beliau menang dalam persaingan tiga penjuru dengan majoriti sebanyak 6,635 dalam PRN baru-baru ini.
Onn memperoleh 11,082 undi berbanding calon dari Perikatan Nasional (PN), Azlisham Azahar (4,447 undi), Sangaran Rawisandiran daripada MUDA memperoleh sebanyak 3,503 undi dan Datuk Dr. Shahruddin Md Salleh (PEJUANG) sebanyak 476 undi.
MalaysiaGazette difahamkan pengumuman mengenai pelantikan Menteri Besar Johor akan diumumkan dalam tempoh terdekat ini.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Zahid selesai menghadap Sultan Johor, siapa MB masih jadi tanda tanya