JAKARTA – Indonesia akan mengguna pakai skim gelembung perjalanan untuk penganjuran sidang kemuncak G20 bagi memastikan keselamatan delegasi dan kakitangan daripada jangkitan COVID-19.
Skim itu akan menjadi garis panduan untuk setiap aktiviti pada sidang kemuncak dua hari di Bali yang berakhir 16 Nov, kata jurucakap kementerian kesihatan Dr Siti Nadia Tarmizi dalam satu kenyataan.
Beliau berkata gelembung perjalanan pertama adalah untuk perwakilan negara G20 termasuk rombongan utama mereka, manakala gelembung perjalanan kedua ke atas peserta dan wartawan.
Gelembung perjalanan ketiga pula untuk penganjur sidang kemuncak dan pegawai di lapangan, dan terakhir kepada semua kakitangan operasi dan sokongan yang terlibat dalam urusan penganjuran sidang kemuncak itu.
Langkah-langkah keselamatan lain termasuk vaksinasi, pemeriksaan kesihatan berkala dan ujian saringan. Sebelum ketibaan, semua peserta mesti telah lengkap dua dos vaksin COVID-19 dan menunjukkan sijil vaksin mereka.
Mereka juga perlu memberikan keputusan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) negatif yang diambil maksimum tiga hari sebelum berlepas selain menjalani ujian antigen harian atau ujian PCR setiap tiga hari.- BERNAMA