Home Ekonomi Harga minyak susut bimbang permintaan China perlahan

Harga minyak susut bimbang permintaan China perlahan

Gambar hiasan

TOKYO – Harga minyak merosot ke paras terendah dua minggu dalam dagangan hari ini berikutan rundingan gencatan senjata yang berterusan antara Rusia dan Ukraine dan kebimbangan mengenai permintaan di China selepas lonjakan kes Covid-19 di negara itu.

Niaga hadapan Brent susut AS$4.20 atau 3.9% kepada AS$102.70 setong menjelang 0125 GMT selepas jatuh 5.1% pada hari sebelumnya.

Minyak mentah Amerika Syarikat (AS) West Texas Intermediate jatuh di bawah paras AS$100 buat kali pertama sejak 1 Mac, turun AS$4.30 atau 4.2% kepada AS$98.71 setong.

Harga itu menyusuli kejatuhan 5.8% pada hari sebelumnya.

“Ramalan perkembangan positif dalam rundingan gencatan senjata Rusia-Ukraine menguatkan harapan untuk mengurangkan ketegangan dalam pasaran minyak mentah global.

“Namun, sekatan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19 di China juga menimbulkan kebimbangan terhadap permintaan (minyak) yang lebih perlahan,” kata Toshitaka Tazawa, seorang penganalisis di Fujitomi Securities Co Ltd.

China mencatatkan lonjakan mendadak dalam jangkitan Covid-19 harian pada hari Selasa, dengan kes gejala baharu meningkat dua kali ganda daripada sehari sebelumnya kepada paras tertinggi dua tahun.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy pada lewat hari Isnin berkata, rundingan dengan Rusia, pengeksport minyak mentah kedua terbesar dunia akan diteruskan pada hari Selasa.

AS memberi amaran kepada China selepas rundingan “sengit” pada hari Isnin supaya tidak membantu Moscow dalam pencerobohan Ukraine. – Reuters (https://www.reuters.com/business/oil-falls-ukraine-talks-fears-slower-demand-china-2022-03-15/)