KUALA LUMPUR – Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) Laluan Lingkaran dikenal pasti sebagai projek berimpak tinggi yang akan memacu perubahan ekonomi negara.
Justeru, kerajaan akan memberi penekanan supaya manfaat projek itu akan dapat dirasai oleh semua lapisan Keluarga Malaysia di seluruh negara.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, antara manfaat adalah perkembangan rantaian pembekalan ataupun rantaian bekalan yang akan melibatkan pemain di luar Lembah Klang.
Ini katanya, akan menjana peluang pekerjaan untuk masyarakat setempat apabila kilang membuat komponen Sistem Bangunan Berindustri (IBS) untuk pembinaan dan sistem rel beroperasi.
“Usaha untuk meningkatkan penglibatan Bumiputera juga akan dilaksanakan dan diperketatkan untuk memastikan manfaat diperolehi oleh kumpulan yang disasar agar agenda memperkasakan agenda Bumiputera tercapai selaras dengan Program Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB) 2030.
“Projek ini juga akan memberi peluang pekerjaan kepada pemuda tempatan, terutama graduan program TVET untuk berkecimpung dalam industri rel.
“Pada masa sama, projek ini akan menggalakkan perkembangan industri dan teknologi rel di Malaysia dan ini akan meningkatan daya saing negara di rantau ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Sdn. Bhd. (MRL), Datuk seri Darwis Abdul Razak; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Mohd Azharuddin Mat Sah; dan Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha.
Menurut Ka Siong, projek MRT 3 itu akan disiapkan dan dibuka secara berfasa dengan fasa pertama dijangka tahun 2028 dan seluruh laluan pada tahun 2030.
Kata beliau, apabila projek itu siap kelak, warga Lembah Klang akan dapat menikmati perkhidmatan pengangkutan awam yang moden, bersepadu dan efisien.
“Ini akan menggalakkan mereka meninggalkan kereta di rumah dan beralih kepada pengangkutan awam.
“Ini seiring dengan objektif untuk mengurangkan jejak karbon yang akan memberi impak positif dalam menangani perubahan iklim dan selari dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara neutral karbon menjelang 2050.
“Dalam memenuhi aspirasi ini, kita mungkin akan dapat memperkenalkan beberapa lagi pendekatan untuk mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian, termasuk fi kenderaan dan alam sekitar kenderaan yang dilaksanakan di beberapa bandar seperti London,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan projek MRT 3 itu selaras dengan tema utama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu Menjana Semula Ekonomi, Memperkukuh Keselamatan, Kesejahteraan dan Inklusiviti serta Melonjakkan Kemampanan negara.
“Semua ini akan dapat dicapai melalui menyediakan jaringan rel pengangkutan awam yang bersepadu, mampu bayar dan lancar yang akan dapat dinikmati oleh Keluarga Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette