KUALA LUMPUR – Semua prosedur operasi standard (SOP) kesihatan bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) melalui pengangkutan udara(VTL) antara Malaysia dengan Singapura, Thailand dan Kemboja akan diseragamkan dan dilaksanakan berasaskan kaedah Test and Release.
Kaedah itu membolehkan pengembara tidak perlu menunggu keputusan ujian Covid-19 semasa ketibaan lapangan terbang.
Sebaliknya, pengembara hanya perlu menjalani pengambilan calitan ujian Covid-19 semasa ketibaan dan dibenarkan untuk meneruskan perjalanan ke tempat penginapan masing-masing seperti mana yang diisytiharkan dalam aplikasi MySejahtera Perintah Pengawasan dan Pemerhatian dengan menaiki kenderaan pengangkutan persendirian, teksi atau kereta sewa persendirian.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pengembara seterusnya perlu mengasingkan diri sementara menunggu keputusan ujian Covid-19 yang akan diperolehi dalam tempoh 24 jam.
”Setelah keputusan negatif diperoleh, pengembara dibenarkan untuk menjalankan aktiviti mereka. Sekiranya keputusan positif diperolehi, pengembara ters but akan mengikuti protokol kesihatan sedia ada yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.
Ka Siong berkata, penyeragaman ini adalah bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengembara VTL By Air yang memasuki Malaysia dan memudahkan aspek penguatkuasaan di lapangan terbang.
Penyeragaman ini adalah terpakai untuk ketibaan pengembara VTL di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang mulai 16 Mac 2022.
Butiran lanjut mengenai syarat pra-pelepasan dan kemasukan ke Malaysia yang telah dikemaskini selaras dengan penyeragaman ini boleh didapati di laman web Jabatan Imigresen Malaysia di www.imi.gov.my. – MalaysiaGazette