Home Nasional Presiden Peka mengaku tidak bersalah duduki tanah kerajaan tanpa kebenaran

Presiden Peka mengaku tidak bersalah duduki tanah kerajaan tanpa kebenaran

Shariffa Sabrina Syed Akil

RAUB – Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran, tahun lepas.

Shariffa Sabrina, 60, yang hadir ke mahkamah ditemani ahli keluarga dan rakan, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu pada 2 petang, 10 dan 11 Jun 2021 dengan menduduki tanah di Lot 26148, GM4135 di Mukim Bentong; Lot 1053, PM0053 Mukim Ulu Dong dan Lot 10061, GM1572 Mukim Tras, kedua-duanya di Raub, tanpa kebenaran yang sah.

Tanah terlibat buat masa ini didakwa dijadikan resort dan tempat perniagaan iaitu Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant, Tanah Aina Fahad Glamping Resort dan Tanah Aina Farrah Soraya Exclusive Eco Resort.

Pertuduhan mengikut Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara 1965 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 425 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang Izzat Ikhwan Abu Bakar menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, selain memohon perintah tegahan terhadap OKS supaya tidak membuat kenyataan berkaitan kes itu kepada pihak ketiga termasuk di media sosial.

“Untuk makluman, sejak saman diserahkan kepada OKS pada 27 Jan lepas, OKS telah membuat kenyataan di media sosial mengenai kes ini di Facebook, memetik laporan di media manakala pada ruangan komen, OKS seolah-olah telah membuat andaian seperti tidak bersalah.

“Ia seperti cuba mendatangkan gambaran terdapat pihak terutamanya kerajaan cuba untuk berbuat jahat kepada OKS dan sebagai seorang yang ada peguam-peguam handal, OKS seharusnya tahu kenyataan perlu dibuat di hadapan hakim. Itu sistem perundangan kita, bukan sistem public opinion (pendapat awam),” katanya.

Bagaimanapun peguam Mohd Harris Mohan yang mewakili Shariffa Sabrina memohon agar jumlah jaminan ditawarkan dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak berisiko melarikan diri setelah berniaga selama 12 tahun di tanah yang menjadi subjek pertuduhan tersebut.

“Tiada sebarang masalah yang timbul setakat ini dan OKS juga telah banyak mendatangkan hasil kepada kerajaan Pahang. OKS juga seorang yang terkenal dan banyak menerima anugerah, maka tiada kemungkinan untuk melarikan diri,” katanya.

Mengenai permohonan perintah tegahan, peguam Rajesh Nagarajan yang turut mewakili Shariffa Sabrina berkata, permohonan itu seharusnya dibuat secara rasmi dengan notis diberikan kepada pihak pembelaan bagi membolehkan mereka bersedia dengan hujahan, dan bukan secara lisan pada hari ini.

“Ini juga satu bentuk penafian kepada hak OKS untuk bersuara. Setiap warganegara ada hak di bawah Perlembagaan untuk menzahirkan pendapat dan komen. Kami tiada bantahan kepada ‘gag order’ (perintah tegahan) namun ia harus dibuat dengan betul dan di peringkat ini, kami mohon permohonan itu tidak dibenarkan,” katanya.

Selepas mendengar bantahan itu, Ahmad Faizadh berkata, walaupun tiada perintah dikeluarkan setakat ini, namun pihak terlibat tidak boleh membincangkan kes di luar mahkamah secara amnya, sementara pihak pendakwaan memfailkan permohonan itu secara rasmi.

Ini selepas Izzat Ikwan memaklumkan pihaknya tidak mempunyai halangan untuk membuat permohonan tersebut secara formal.

Ahmad Faizadh juga membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 25 April ini untuk sebutan semula kes. – Bernama