Home Sukan ASEAN, WADA meterai MoU mengenai usaha banteras doping

ASEAN, WADA meterai MoU mengenai usaha banteras doping

ASEAN, WADA tandatangan MoU mengenai anti-doping. Foto: ASEAN Secretariat.

JAKARTA – ASEAN menjalin kerjasama rasmi dengan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) untuk mencegah doping dalam sukan di seluruh rantau ini.

Kedua-dua entiti itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada mesyuarat peringkat menteri antara kerajaan Asia/Oceania ke-17 mengenai anti-doping dalam sukan pada Isnin.

“Saya yakin penglibatan negara anggota kami dan pihak berkepentingan yang berkaitan akan membolehkan ASEAN memanfaatkan modal insannya dengan lebih baik untuk mencegah aktiviti doping di rantau ini, serta mewujudkan persekitaran permainan adil dan saksama untuk semua atlet,” kata Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi dalam satu kenyataan.

Majlis memeterai perjanjian itu berlangsung secara maya di Dubai dan di Jakarta disaksikan menteri-menteri sukan ASEAN serta pemimpin Pertubuhan Anti-Doping Kebangsaan (NADOs).

Presiden WADA Witold Bańka menzahirkan ucapan terima kasih kepada ASEAN atas komitmen mereka ke arah sukan yang bersih.

“WADA wujud untuk memberi khidmat kepada atlet dunia. Kami berada di sini untuk memberi mereka peluang bersaing secara terbaik dan adil dalam permainan,” katanya.

Kerjasama di bawah MoU itu termasuk pelaksanaan Konvensyen Antarabangsa UNESCO Membanteras Doping Dalam Sukan, selain semakan serta pengharmonian dasar dan program anti-doping negara dengan Program Anti-Doping Dunia.- BERNAMA