KUALA LUMPUR — Aktivis sosial, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang menyerahkan dua buah van jenazah kepada Polis Kuala Lumpur (KL) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) KL, disini, hari ini.
Kunci van yang diberi atas kerjasama Pertubuhan Amal Uncle Kentang tersebut diterima Ketua Polis KL, CP Datuk Azmi Abu Kassim.
Menurut Azmi, sebuah van akan ditempatkan di Balai Polis Dang Wangi manakala sebuah lagi akan ditempatkan di Balai Polis Cheras.
“Kedua-dua van ini adalah untuk kegunaan dan keperluan orang awam menguruskan jenazah yang berada di sekitar KL”
“Peranan yang dimainkan oleh pihak polis adalah menyediakan tempat parkir van sahaja”
“Standard operasi prosedur (SOP) untuk menggunakan van jenazah ini sama seperti pertubuhan Uncle Kentang” kata Azmi ketika ditemui.
Mengulas lanjut, Azmi berkata, pihaknya akan mengaturkan seorang pemandu daripada kalangan rakan-rakan strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari kawasan setempat jika tiada pemandu di balai polis Cheras, dan Dang Wangi.
Ini merupakan kali pertama Uncle Kentang bekerjasama dengan Polis KL menerusi penyerahan van jenazah.
Setakat ini, Uncle Kentang sudah mempunyai 25 van jenazah di seluruh negara. – MalaysiaGazette