Home Nasional PBT Selangor kenal pasti 613 menara telekomunikasi haram

PBT Selangor kenal pasti 613 menara telekomunikasi haram

garbage disposal solid waste landfill Selangor
Ng Sze Han

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengenal pasti sebanyak 613 menara telekomunikasi yang dibina tidak berdaftar dan tanpa lesen serta dikategorikan sebagai pembinaan haram.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han, tindakan penguatkuasaan telah diambil ke atas menara terbabit dan pemiliknya.

Kata beliau, PBT dengan kerjasama Yakin Telesel Sdn Bhd (YTSB) telah melakukan operasi pemantauan berkala dan audit tapak di seluruh negeri bagi mengenal pasti struktur haram dan menara yang tidak mematuhi garis panduan itu.

“Melalui laporan audit tapak, didapati jumlah keseluruhan struktur tidak berdaftar atau tidak berlesen adalah 613 tapak, yang mana sebahagian besar struktur haram ini telah dibina sejak 10 tahun lalu,” katanya pada sesi menjawab soalan lisan pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Menurut Sze Han, berdasarkan sumber data PBT dan YTSB jumlah pencawang atau menara tidak berlesen ialah Shah Alam sebanyak 36 menara, Petaling Jaya (42), Subang Jaya (42), Kajang (77), Selayang (111), Klang (lima), Ampang Jaya (35), Sepang (63), Kuala Langat (172), Kuala Selangor (tujuh), Hulu Selangor (19) dan Sabak Bernam (empat).

Kata beliau, kerajaan negeri akan kehilangan hasil sebanyak RM1.2 juta setahun sekiranya tiada tindakan sewajarnya diambil.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan pada 14 Februari lalu telah bersetuju semua PBT mengambil tindakan penguatkuasaan.

“Kita beri kebenaran kepada PBT untuk mengeluarkan notis perobohan ke atas menara telekomunisai haram, tidak berdaftar atau tidak memperbaharui permit di kawasan PBT masing-masing selewatnya 31 Mac ini.

“PBT boleh mengeluarkan notis mengikut peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa seperti Akta 133 iaitu Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan Akta 172 iaitu Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976,” katanya.

Katanya, jika pemilik struktur enggan menjelaskan sebarang kompaun, tindakan penguatkuasaan akan dilakukan terhadap struktur itu. – MalaysiaGazette