Home Nasional Mei Sze desak kerajaan pusat percepatkan RUU menyahjenayahkan cubaan bunuh diri

Mei Sze desak kerajaan pusat percepatkan RUU menyahjenayahkan cubaan bunuh diri

Michelle Ng Mei Sze

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze mengajak kerajaan Selangor untuk bersamanya menyatakan pendirian kepada kerajaan Persekutuan agar mempercepatkan penangguhan pelaksanaan Seksyen 309 Kanun Keseksaan (KK) yang masih dalam peringkat kajian.

Beliau berkata, jika kerajaan Persekutuan ikhlas dan hendak menyahjenayahkan cubaan bunuh diri, satu moratorium (penangguhan) terhadap pelaksanaan seksyen itu harus disegerakan.

ADUN itu mengingatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, cadangan tersebut bukan dimulakan oleh menteri berkenaan, sebaliknya adalah usaha susulan daripada bekas Menteri Undang-Undang sebelum ini, mendiang Liew Vui Keong.

“Setiap pagi saya peruntukan masa untuk membaca dan membalas e-mel penduduk. Saya dapat satu e-mel dari seorang lelaki bernama Danial, yang konsisten setiap hari dalam permohonannya untuk memohon satu moratorium terhadap undang-undang percubaan bunuh diri.

“Saya sedia maklum bahawa Covid-19 telah membawa banyak cabaran. Ramai yang masih bergelut dengan isu kesihatan mental, kerja dan keluarga akibat pandemik itu.

“Tindakan paling senang yang boleh diambil oleh kerajaan Persekutuan adalah untuk menyahjenayahkan Seksyen 309 KK, yang menjadikan percubaan bunuh diri satu jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan menyembah ucapan terima kasih serta menjunjung kasih ke atas titah Sultan Selangor pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau kecewa sehingga hari ini apabila diajukan perkara itu kepada menteri, masih dengan jawapan sama iaitu akan dibawa ke Kabinet tidak lama lagi.

“Janji tidak lama lagi ini sejak Disember tahun lepas lagi. Menteri kata RUU berkenaan akan dibentangkan pada akhir tahun 2021 atau awal 2022.

“Kenapa perlu ambil masa begitu lama. Ini untuk kebaikan dan kepentingan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette