Home Nasional PTPTN lancarkan logo Sambutan Jubli Perak 25 Tahun

PTPTN lancarkan logo Sambutan Jubli Perak 25 Tahun

Pengerusi PTPTN Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata logo itu dihasilkan melalui pertandingan Reka Cipta Logo Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN (1997-2022), bertemakan ‘Peluang Kejayaan Anda’ yang diadakan dari 10 Jan hingga 3 Feb.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini melancarkan logo Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN sempena ulang tahun penubuhannnya pada 1 Julai 1997.

Pengerusi PTPTN Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata logo itu dihasilkan melalui pertandingan Reka Cipta Logo Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN (1997-2022), bertemakan ‘Peluang Kejayaan Anda’ yang diadakan dari 10 Jan hingga 3 Feb.

“Pemenang utama pertandingan ini ialah Muhammad Bakhtiar Baharudin dari Baling, Kedah yang membawa pulang ganjaran tunai berjumlah RM2,500 beserta sijil penghargaan,” katanya dalam ucapan perasmian Logo Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN secara maya hari ini.

Logo Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata logo itu mengetengahkan angka 25 melambangkan 25 tahun penubuhan PTPTN sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, yang menyediakan kemudahan pembiayaan pinjaman dan deposit simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi.

Katanya reka bentuk siluet ‘mortar board’ pada logo, mencerminkan kejayaan PTPTN dalam membantu pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT), menamatkan pengajian dan membuka peluang kejayaan kepada mereka.

“Logo PTPTN yang melintasi angka lima dan bulatan pula melambangkan PTPTN selaku tabung pendidikan utama negara, yang membantu pelajar mendapatkan akses pendidikan tinggi tanpa bebanan kewangan. Bentuk bulatan dengan anak panah menuju kepada ‘mortar board’ melambangkan PTPTN yang terus komited membantu pelajar di IPT mendapatkan segulung ijazah.

“Warna perak menjadi simbolik kepada 25 tahun kecemerlangan PTPTN dalam membantu pelajar melanjutkan pengajian ke IPT dan seterusnya dapat menyumbang bakti tenaga kepada agama, bangsa dan negara, manakala penggunaan warna biru dan kuning pula adalah selari dengan warna korporat PTPTN,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sejak PTPTN ditubuhkan hingga 31 Jan 2022, PTPTN telah membantu 3.63 juta pelajar untuk melanjutkan pengajian ke IPT, melibatkan jumlah pinjaman RM65.6 bilion.

“Ini satu jumlah yang besar dan ia jelas membuktikan peranan PTPTN membantu pelajar bagi tujuan pendidikan tinggi amat penting, dalam menjadi tonggak pembangunan modal insan negara.

“PTPTN juga sentiasa komited untuk memastikan ibu bapa mempunyai perancangan kewangan untuk anak-anak dengan memperkenalkan Simpan SSPN, serta tekad memberi peluang kejayaan kepada lebih ramai pelajar selaras dengan moto PTPTN iaitu ‘Peluang Kejayaan Anda,” katanya.

Bagi menyemarakkan lagi sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN, Wan Saiful berkata pelbagai program dirangka antaranya Pertandingan Reka Cipta Logo Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN, Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 25 Tahun PTPTN, Kempen Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 25 Tahun dan kemuncak sambutan adalah Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN pada Julai 2022 depan.- BERNAMA