SEPANG – Janji manis sindiket ‘ulat jaket’ yang menawarkan pelbagai pakej percutian harga murah ternyata menggoda mangsanya.
Ditambah pula dengan berperwatakannya menarik serta kemas dan menyasarkan pelancong dari Timur Tengah untuk dijadikan mangsa.
Menawarkan pelbagai kemudahan mewah termasuklah kenderaan yang disewa selain lawatan ke beberapa lokasi menarik tawaran murah yang pada awalnya namun kosnya berlipat kali ganda dari harga sebenar.
Ahli sindiket terbabit yang didalangi warga tempatan mampu meraih sekurang-kurangnya RM30,000 hingga RM40,000 seminggu.
Bagaimanapun, kelicikan mereka dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Operasi Ulat (OPS Ulat) yang dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, ‘ulat jaket’ berkenaan menggunakan modus operandi berrlainan berbanding ulat biasa di KLIA.
Mereka sentiasa mempamerkan penampilan kemas dengan memakai jaket.
Katanya, sasaran mereka adalah pelancong dari Timur Tengah di mana ketika sebelum kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan ‘ulat jaket’ akan mendapat keuntungan berlipat kali ganda.
Ini kerana pelancong yang datang dari negara itu akan mengambil masa lama di sini iaitu pada Mei, Jun dan Julai disebabkan negara mereka bercuaca panas dan gemar melancong ke negara ini.
“Ulat jaket ini akan menjadikan pelancong Timur Tengah ini sebagai mangsa, di mana pakej yang ditawarkan lebih menarik bermula dari mendarat sehinggalah ke hotel dan sehinggalah pakej tempat-tempat peranginan.
“Sebarang bentuk pakej akan dijumlahkan dan kalau kita tengok tawaran dengan syarikat pelancngan jauh lebih murah tetapi mereka ini akan kenakan bayaran terlalu tinggi dan itu kita tak mahu berlaku kepada pelancong Timur Tengah.
“Mereka akan mendapat bayaran sepanjang duduk sini (KLIA) dalam tempoh seminggu sampai RM30,000 hingga RM40,000 yang mana tak masuk akal , sebab mereka tahu mangsa mereka ini berduit dan mereka boleh kenakan bayaran sewenang-wenangnya.
“Ini akan memberi imej tidak baik kepada Malaysia, dengan caj bayaran berlebihan tidak masuk akal ini dan ini kita tidak mahu ia berlaku,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Menurut Zailani, JPJ Selangor telah melakukan 14 tangkapan ke atas ulat jaket terbabit yang menawarkan khidmat kereta sewa tidak berlesen atau secara haram di KLIA dan klia2.
“Tangkapan ini melibatkan 14 orang pemandu dimana 11 daripadanya menggunakan kenderaan persendirian dan tiga lagi menggunakan teksi.
“Ulat ini menawarkan perkhidmatan kereta sewa kepada orang awam yang tiba di balai ketibaan KLIA dan klia2 dengan mengenakan bayaran penghantaran tinggi diantara RM80 hingga RM150 ke Kuala Lumpur dan sekitarnya berbanding teksi biasa atau Limo di antara RM65 hingga RM80 sahaja,” katanya.
Berdasarkan statistik dari 2018 hingga Mac 2022 jumlah tangkapa ke atas ulat terbabit adaah berjumlah 347 orang.
Jumlah itu membabitkan 72 kes (2018), 177 kes (2019) 52 kes (2020), 24 kes (2021) dan sehingga Mac 2022 adalah sebanyak 22 kes tangkapan.
“Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) yang memperuntukan denda tidak melebihi RM50,000 tau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atar kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ulat ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) dibawah akta yang sama,” katanya. – MalaysiaGazette