KUALA LUMPUR – UMNO perlu menghentikan pemikiran gemar bergantung kepada parti lain untuk memerintah negara, apatah lagi kepada Pas, Bersatu atau Pakatan Harapan (PH) sebagai talian hayat dan nyawa simpanan.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, budaya itu perlu dihentikan segera kerana parti-parti politik ternyata berpaling tadah dan menyokong parti yang ternyata mahu menguburkan UMNO sebelum ini.
“Budaya mencari talian hayat mesti dibuang. Jangan sesekali meminta-minta nyawa dari orang lain.
“Kita juga mesti berhenti memberi nyawa pada orang lain, khususnya mereka yang mengemis peluang, tapi akhirnya menikam kita dari belakang,” katanya berucap merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) malam ini.
Menurut Mohamad, semenjak UMNO dan Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), satu-persatu rakan komponennya meninggalkan parti.
“Pemergian mereka lebih dahsyat dari lagak orang yang membuang sepah selepas habis madunya. Tanpa belas, tanpa kias.
“Kita semua terpukul memikirkan apakah selama ini kita benar-benar sahabat dan saudara? Atau BN ini hanya sekadar medan untuk menunggang kuasa?” soalnya.
Tambahnya, dari 13 parti komponen, BN kini hanya mempunyai empat rakan karib yang terus kekal yakin untuk bersama dan tiada penyertaan baharu setakat ini.
“Saya menzahirkan sedalam-dalam rasa penghargaan di atas kesetiaan MCA, MIC dan PBRS. Setia kawan anda semua, adalah luar biasa dan sangat dihargai,” katanya.
Lebih malang, katanya, ramai pemimpin UMNO yang telah meninggalkan UMNO menyebabkan wujudnya Bersatu, Pejuang dan Warisan hingga secara langsung mencabar potensi UMNO menjadi parti terkuat bagi bangsa Melayu.
“Mereka ini berpatah arang, berkerat rotan dengan UMNO. Yang kekal dalam UMNO pula, sewaktu UMNO kalah, menjauhkan diri. Dalam sekelip mata mereka putus harap dengan UMNO.
“Baru diuji dengan sebuah kekalahan sudah seperti kehilangan akal.
“Kalau dahulu, bergolok bergadai ingin ke hadapan memimpin. Bila UMNO tewas, ada pemimpin kanan memberi alasan ingin berehat dan ada yang melompat ke parti lawan dengan alasan paling jijik dan meloyakan.
“Kini, bila UMNO semakin diterima kembali oleh orang Melayu, mereka kembali muncul seolah-olah mereka benteng ketahanan UMNO selama ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette