KUALA LUMPUR – Tindakan UMNO tidak menjemput wakil Pas ke Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO malam tadi kerana prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM).
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kekangan tempat dan Dewan Merdeka yang terhadap kepada kehadiran pemimpin Pas tidak mengizinkan jemputan kepada pemimpin Pas itu dibuat.
“(Tak jemput) sebab kekangan tempat, tempat tak mengizinkan, dengan SOP, cakap bersopanlahkan,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) malam tadi.
Terdahulu Mohamad merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) malam tadi.
Sementara itu, Mohamad menafikan dakwaan hubungan UMNO dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) sudah berakhir.
“MN belum tamat lagi, kalau kita mengaji kita tamatkan, dia (MN) belum tamat lagi walaupun sudah sampai ayat akhir tetapi belum kita khatamkan, elok kita sama-sama fikir.
“Kiita cuma akan bersama dengan orang setia bukan banyak kolam, yang akhirnya ramai orang akan keliru dan kita sendiri takut kita keliru,” katanya.
Mengulas desakan agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dipercepatkan, Mohamad berkata, usul tersebut akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam esok.
“Naib presiden kedua akan bawa usul apa yang akan dibentangkan kepada Perhimpunan Agung UMNO. Dia akan datang daripada jawatankuasa usul yang mengumpul segala usul di 190 bahagian tidak termasuk Tanah Merah yang digantung,” katanya lagi. – MalaysiaGazette