KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengingatkan pucuk pimpinan parti yang rakyat bukan hanya mahu mandat baharu tetapi sebuah kerajaan yang teguh dan stabil dapat didirikan.
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO tidak boleh kekal dalam keadaan sekarang kerana setiap saat dipaksa mengikuti kehendak sekutu lebih daripada kepentingan rakyat.
Menurutnya, mana mungkin sebuah kerajaan itu boleh berfungsi dengan sempurna jika pada setiap masa UMNO terpaksa mengikut nafsu politik sesetengah pihak.
“Mana mungkin sebuah kerajaan campuran mampu bertahan kalau di dalamnya penuh dengan pemuka-pemuka yang berterusan meremeh dan menghina parti kita. Apa mereka tak kata kepada UMNO? Perompak, penyamun, itik patah kaki!
“Cukup-cukuplah kita dihina dan dicerca! Pemuda tidak akan sesekali membenarkan UMNO terus dipersendakan oleh mana-mana pihak. Pemuda tidak akan sama sekali membiarkan UMNO terus dicemuh dan dihina.
“Kita adalah UMNO! Kita punya maruah dan harga diri! Kita tidak hidup dengan belas ihsan pihak lain! Kita tidak bangun dengan memaut tongkat orang lain!,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Persidangan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hari ini.
Menurut Asyraf, UMNO bangkit melalui kekuatan sendiri dengan bangun menanam semula akar pemerintahan negara mengikut acuan sendiri.
“Inilah UMNO. Kalau kita gila kuasa, sudah tentu kita isytiharkan darurat. Kalau kita gila kuasa sudah tentu kita gantung Parlimen. Kalau kita gila kuasa, sudah tentu kita mandulkan demokrasi, sudah tentu kita jahanamkan institusi.
“Tapi itu bukan UMNO. Itu bukan kerja kita tetapi itu semua kerja daripada parti mana?” soal beliau.
Kata Dr. Asyraf, Pakatan Harapan (PH) pun sama sahaja dengan menuduh UMNO kerajaan pintu belakang, konon tidak hormat mandat rakyat namun apabila mahu kembalikan semula mandat, mereka pula menggelupur dan mencari pelbagai alasan menolaknya.
Oleh itu, soalnya siapa sebenarnya tidak hormat pada pilihan rakyat? Siapa sebenarnya bacul tidak meyakini mandat rakyat?
Menurutnya, inilah wajah dan warna sebenar PH dan Perikatan Nasional (PN) sedangkan UMNO berbeza dan tidak teringin dengan tawaran kerusi daripada kaki lompat parti.
“Malah, kita tak berselera pun jika pengkhianat yang melarikan kerusi berhajat mahu kembali. Tapi kalau bersungguh mahu kembali, kita bersedia membuka pintu tapi kenalah ikut giliran. Jangan pula nak masuk, tapi syarat nak bertanding lagi.
“Saya menyeru kepada barisan Pemuda, bersedialah kerana gendang perang bakal berbunyi. Medan juang akan kita tempuhi tidak lama lagi. Bersedialah untuk bermandi keringat, mengerah sepenuh tenaga tanpa alasan atau menurut hawa perasaan, kerana itu lebih baik daripada kita terpaksa bergenang air mata sekali lagi,” katanya.
Beliau mengingatkan ahli Pemuda UMNO agar tidak terpengaruh dengan usaha memaksa disegerakan pemilihan parti.
Katanya, jika ada pemilihan sebelum pilihan raya, berapa ramai kepimpinan Pemuda yang akan bertukar ganti bukan kerana ditolak tetapi kerana batasan umur yang tidak mengizinkan lagi.
“Dengan masa yang pendek, apakah kita mampu membentuk semula barisan baru yang berpengalaman dan kuat untuk menghadapi peperangan?
“Usah hanyut dalam gelora pemilihan parti! Mula kembali budaya bobrok lama membawa rombongan ke sana sini menyusun jentera, membuat pelbagai gerakan untuk mencatur dan menjatuhkan sesama sendiri.
“Ingatlah, jika bahtera kita karam buat kali kedua, jawatan parti pun sudah tidak bernilai lagi,” katanya. – MalaysiaGazette