Home Politik Bubar Parlimen, kita nak pecut kereta ke garisan penamat – Zahida

Bubar Parlimen, kita nak pecut kereta ke garisan penamat – Zahida

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berucap ketika hadir pada Persidangan Pewakilan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO mahu kerajaan mengambil langkah segera membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan menyahut seruan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi ucapan perasmian sayap malam tadi bahawa tiada lagi alasan untuk melengahkan PRU-15.

“Kita sudah berada di gear empat nak masuk gear lima, tunggu untuk over drive sahaja, kita nak memecut kereta kita ke garisan penamat.

“Untuk meraih kemenangan mutlak, menebus maruah kita yang hilang dalam perlumbaan PRU-14 dulu. Jangan lemahkan semangat kami, kami mahu pecut dan pecut lagi.

“Jangan kata kami wanita muda, Puteri lemah bahkan kami boleh menjadi lebih jantan dari setengah jantan yang ada. Our balls can be bigger than yours,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Zahida berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan medan menguji tahap sokongan anak muda kepada parti berikutan pelaksanaan Undi 18.

Selain itu, beliau turut menyifatkan PRN Melaka dan Johor sebagai sebuah kemanisan yang mengasyikan serta menjadi tonik kekuatan sebagaimana yang dirasakan selepas memenangi tujuh Pilihan Raya Kecil sebelum ini.

“Tonik ini lebih poten, lebih mujarab dan menjadikan kita lebih gagah kerana Johor adalah antara negeri terbesar yang paling unik dan kompleks dalam kalangan negeri-negeri lain.

“Nikmat manis ini kerana perang politik baru ini menuntut kepada kesepakatan, keseragaman, ketersusunan dan yang paling penting pengorbanan yang paling besar iaitu pengorbanan orang Johor.

“Pengorbanan pimpinan dan pendokong UMNO di Johor juga pengorbanan anggota parti dari seluruh negara untuk memastikan kemenangan kita di Johor,” ujarnya. – MalaysiaGazette