KUALA LUMPUR – Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbabit dalam kejadian serangan tembakan di konsert muzik di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) di mana lebih 50 orang dilaporkan maut dan beratus lagi cedera pada Ahad malam.
Jurucakap Wisma Putra berkata, pihaknya telah menghubungi Kedutaan Malaysia di AS bagi mengesahkan maklumat itu termasuk untuk mendapatkan perkembangan lanjut insiden berkenaan.
“Setakat ini tiada rakyat Malaysia yang terbabit,” kata jurucakap itu ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.
Berdasarkan laporan terkini media AS, sekurang-kurangnya 50 orang maut akibat terkena tembakan dan lebih 200 orang lagi cedera selepas seorang lelaki berumur 64 tahun melepaskan tembakan ke arah ribuan pengunjung konsert muzik terbuka di luar Hotel Mandalay Bay, Las Vegas.
Jurucakap polis Joe Lombardo pada sidang akhbar berkata, suspek utama menggunakan senapang automatik dan melepaskan tembakan dari tingkat 32 hotel berkenaan ke arah pengunjung.
Suspek berjaya dibunuh selepas polis mengesannya.
Media tempatan melaporkan kejadian berlaku pada pukul 11.30 Ahad malam yang menyaksikan ratusan das tembakan dilepaskan oleh penyerang tunggal itu. – BERNAMA