Home Pendapat Benarkah tiada program senjata biologi?

Benarkah tiada program senjata biologi?

Logo WHO di ibu pejabat di Geneva, Switzerland. foto Reuters

BERITA-berita dunia tentang krisis Russia-Ukraine mutakhir ini agak membingungkan. Satu berita antarabangsa Al Jazeera melaporkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tidak menyedari akan program senjata biologi di Ukraine. Izumi Nakamitsu wakil PBB Hal Ehwal Pelucutan Senjata mengatakan bahawa kedua-dua Ukraine dan Russia adalah negara-negara ahli kepada Konvensyen Senjata Biologi 1975 (BWC) yang menghalang penggunaan senjata biologi tersebut sejak tahun 1975.PBB melalui wakilnya Nakamitsu juga menegaskan tidak menyedari akan kewujudan program senjata biologi tersebut.

Baru-baru ini Russia yang merupakan ahli tetap, melalui Majlis Keselamatan PBB menyatakan menjumpai 30 makmal senjata biologi di Ukraine. Washington telah menyelar kenyataan Moscow tersebut. Diberitakan melalui Perjanjian 2005 Pentagon telah memberi dana kepada Ukraine untuk membantu makmal kesihatan umum bagi pathogen yang berbahaya dan juga bantuan teknologi bertujuan penyelidikan.Usaha tersebut juga dibantu oleh negara lain dan juga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dalam satu berita Reuters pula , WHO Khamis lalu menyatakan bahawa WHO telah menasihati Ukraine untuk memusnahkan pathogens yang berisiko tinggi yang diletakkan dalam makmal kesihatan umum tersebut untuk mengelak kebocoran yang bakal membuatkan merebaknya penyakit di kalangan populasi mereka.

Dari berita-berita ini boleh disimpulkan secara dasarnya bahawa Ukraine memang memiliki makmal biologi yang mempunyai patogen berbahaya. Cuma yang membezakan samada menurut lunas undang-undang dari segi perundangan ialah tujuan makmal biologi berbahaya tersebut dibina. Jika ianya bertujuan keamanan seperti penyelidikan dan pembangunan, maka ianya dikawal oleh WHO berdasarkan Protokol Biokeselamatan dan Biosekuriti.

Jika digunakan untuk melancarkan perang keganasan secara biologi maka ini dihalang oleh BWC itu sendiri dan negara-negara ahli tertakluk kepada BWC tersebut. Ini dirangka bagi mengelak kegunaan dwi tujuan atau serampang dua mata makmal penyelidikan biologi samada untuk penyelidikan atau keganasan biologi. Masalahnya apakah titik pemisah antara kedua-dua tujuan dan matlamat tersebut?

Bagaimanakah klasifikasi tujuan tersebut? Cukupkah setakat laporan dari negara-negara yang dituduh tersebut atau semakan atau siasatan oleh PBB, WHO, wakil-wakil bersekutu Majlis Keselamatan atau pihak-pihak yang terlibat? Ini mengingatkan penulis tentang kisah program nuklear dahulu di Iran satu ketika dahulu pernah dituduh menjalankan program pengayaan uranium untuk membangunkan senjata nuklear.

Maka berduyun-duyunlah penyiasat PBB ke Iran untuk menyiasat tuduhan tersebut.Iran menafikan pertuduhan tersebut dan mengatakan ianya untuk menjana tenaga elektrik. Tapi jangan dilupa kisah Iran dan US bagai telenovela juga.Di mata dunia terkadang umpama musuh di belakang pula ada “jual janji” senjata sekitar tahun 1960an. Haruslah diingat Amerika jugalah yang memberi dana kepada Iran untuk membangunkan program nuklear tersebut sekitar tahun 1950an.Sebagai tindak balas , sekatan PBB dikenakan terhadap Iran.

Dan kini sebagai perjanjian kelonggaran sekatan Iran bersetuju pula untuk pembekuan bahagian penting program nuklear Iran sebagai pertukaran. Sekarang bermula episod drama makmal biologi di Ukraine-Russia pula. Pada hemat penulis, tidak cukup sekadar gesaan WHO untuk Ukraine menutup makmal biologi yang mempunyai pathogen berisiko tinggi tersebut.Setiap makmal biokeselamatan ini mempunyai tahap-tahap yang berbeza-beza mengikut risiko bahaya patogen yang dikaji.

Makmal BSL tahap 3 pun sudah berbahaya apatah lagi BSL-4 yang cukup mahal untuk dibina dan negara yang maju sahaja mampu membinanya. Satu siasatan oleh WHO ke atas makmal-makmal tersebut perlu dilakukan jika WHO serius untuk menangani dakwaan keganasan biologi yang bakal berlaku. Jika takut dengan perang yang berlangsung maka gesalah rundingan untuk gencatan senjata dan masuklah ke Russia-Ukraine untuk menyiasatnya. Persoalannya beranikah datang menyiasat ketika krisis memuncak kini?

Jika kemudian keadaan telah kembali tenang di rantau sana, maka WHO harus datang menyiasat dakwaan tersebut dan begitu sebaliknya (jika beranilah). Dakwaan adanya 30 makmal itu menunjukkan bukan setakat program makmal biologi biasa-biasa. Dan penulis tertanya-tanya apalah tahap makmal biologi tersebut, jika banyak mengendalikan patogen berbahaya, maka Ukraine bertanggungjawab menjawab pada PBB juga WHO tentang tujuan dan tanggungjawab pada BWC juga mungkin tata cara protokol pengendaliannya. Jika makmal penyelidikan melibatkan mikro organisma hidup , ia juga tertakluk pada Protokol Biokeselamatan Cartagena yang mana Ukraine adalah salah satu ahlinya, manakala Russia dan Amerika tidak.

Dapat dilihat di sini kesukaran mengheret negara-negara tertentu ke kancah undang-undang antarabangsa dari segi biokeselamatan juga biosekuriti. Ini kerana terdapat kelompongan undang-undang dari segi mentafsirkan tujuan makmal biologi dibina untuk penyelidikan atau peperangan.Mungkin suatu anggapan undang-undang perlu dibuat untuk menjelaskan tujuan atau niat tersebut.

Sebagai contoh jika suatu negara mempunyai lebih dari 15 makmal biologi aras tinggi yang mengendalikan pathogen berbahaya maka ianya bukan lagi boleh ditafsirkan sebagai menjalankan penyelidikan, malah menjalankan program senjata biologi. Oleh
itu undang-undang perlu antarabangsa perlu lebih jelas dalam isu tersebut. Selain itu isu negara yang bukan ahli sesuatu perjanjian atau remedi undang-undang yang kabur juga tidak tegas menyukarkan lagi permasalahan tersebut.Apa-apa pun ini semua tergantung kepada kehendak politik badan-badan dunia tersebut. Fikir-fikirkanlah!

Dr.Noor Dzuhaidah Osman
Pensyarah, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia