KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan (GE) sebanyak 91% bagi graduan yang telah menamatkan pengajian mereka pada tahun 2021.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof Ir Dr Ghazali Omar berkata, berdasarkan kajian dalaman GE yang dijalankan oleh Pusat Pengurusan Alumni dan Kebolehpasaran Graduan
(PPAKG) UTeM mendapati kadar GE melebihi 90% yang diperolehi adalah berdasarkan faktor keseluruhan GE yang mana peratusan bekerja dalam sektor swasta tempatan dan multinasional mencatatkan penyumbang terbesar dalam kadar
Kebolehpasaran graduan.
Jelasnya, pencapaian ini menzahirkan bahawa graduan UTeM terus menjadi buruan dan pilihan utama para majikan dalam sebarang situasi iklim ekonomi dan pertumbuhan industri dalam negara.
”Antara faktor pendorong graduan UTeM menjadi pilihan utama adalah faktor keyakinan pihak majikan, terutama sektor perindustrian terhadap kemampuan graduan UTeM yang kompeten dan berkemahiran tinggi serta turut dipakejkan dengan ciri keusahawanan tinggi.
”Di samping itu, graduan UTeM telah dilengkapkan dengan ilmu yang komprehensif dan turut dipasakkan dengan semangat TUAH UTeM yang jitu, sekali gus berupaya memenuhi keperluan dan kehendak industri yang kini berteraskan gelombang
Revolusi Industri 4.0,” katanya.
Mengulas lanjut, UTeM selaku Universiti Awam Teknikal pertama di Malaysia turut terus mendukung agenda pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi negara terus komited menghasilkan sumber manusia berkemahiran tinggi yang amat diperlukan bukan hanya pasaran dalam negara malahan merentas sempadan dunia.
Mengupas mengenai asas GE ini, Dr Ghazali berkata secara asasnya GE dinilai berdasarkan 4 perkara iaitu bekerja, melanjutkan pengajian, meningkatkan kemahiran, menunggu penempatan pekerjaan, yang mana kelompok bekerja mencatatkan peratus tertinggi bagi setiap tahun. – MalaysiaGazette