Home Politik Bayar Bahagian UMNO segerakan pemilihan melemahkan parti – Dendera Billah

Bayar Bahagian UMNO segerakan pemilihan melemahkan parti – Dendera Billah

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri bercakap kepada MalaysiaGazette di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur, hari ini. Foto: NIZAM ZAIN

KUALA LUMPUR – Penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pemimpin UMNO yang berjawatan dalam kerajaan hari ini untuk mempengaruhi bahagian-bahagian perlu dielakkan kerana ia hanya merosak dan melemahkan parti Melayu itu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, pemimpin negara perlu menjadi contoh baik kepada rakyat khususnya generasi muda yang mahukan pemimpin berintegriti.

“Sesuatu agenda yang boleh merosakkan parti tentunya perkara berkaitan penyalahgunaan kuasa harus dielakkan. Selepas 60 tahun UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan, mungkin perkara seperti ini melemahkan kita.

“Kalau boleh kita muhasabah diri dalam masa kita tidak jadi kerajaan, kita perbaiki apa yang kita lemah dan kita jangan mengamalkan budaya tidak sihat di dalam parti.

“Generasi muda hari ini sudah tahu kerosakan negara ini boleh terjadi apabila wujudnya perkara-perkara yang tidak baik seperti itu.

“Mereka mahu seorang pemimpin berintegriti tinggi dan bersih supaya lebih yakin menjadi contoh,” katanya kepada MalaysiaGazette di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Beliau mengulas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membuat teguran kepada pemimpin negara yang dipercayai cuba membeli beberapa UMNO Bahagian untuk menyegerakan pemilihan parti itu.

Ahmad Zahid berkata, sebanyak 186 dari 190 bahagian UMNO telah bermesyuarat dan bersetuju agar pemilihan parti diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, Mohd Dendera Billah juga berkata, pemimpin UMNO perlu kembali kepada usaha untuk mengukuhkan parti untuk mendapat mandat rakyat pada PRU15 akan datang terlebih dahulu.

“Budaya-budaya tidak elok ini harus kita tinggalkan dan kita fokus apa yang paling penting kesatuan dalam parti itu dan matlamat kita untuk mendapat mandat rakyat.

“Akhirnya kita dapat meneruskan legasi apa yang telah tergendala sebelum ini dan rakyat terbela dengan apa saja yang telah kita perjuangkan selama ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette