KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bertindak mengunci mulut mengenai posisi jawatan dalam UMNO yang akan ditandingi oleh beliau pada pemilihan parti kali ini.
Khairy berkata, masih terlalu awal untuk membincangkan mengenai jawatan dalam pemilihan akan datang.
“Yang penting hari ini kita semua lega sebab ada usaha ke arah keharmonian.
“UMNO ini satu perkara adalah displin kita walaupun tak semua kita setuju dalam parti, masing-masing ada pendapat sendiri tapi kita tahu bila masa untuk tidak buka pekung di khalayak ramai,” katanya dalam sidang media di Laman Media sempena Perhimpunan Agong UMNO (PAU2021), hari ini.
Tahun lalu, Khairy lantang menggesa agar Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO supaya mengadakan pemilihan parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi menyelesaikan kemelut dalaman yang melanda parti itu.
Beliau berkata, langkah tersebut juga akan membolehkan UMNO menghadapi PRU15 dengan kepimpinan yang lebih jelas.
Untuk rekod, Khairy kalah kerusi Presiden UMNO pada 30 Jun 2018 setelah bertanding dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang ketika itu memangku jawatan Presiden UMNO bersama-sama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. – MalaysiaGazette