KUALA LUMPUR – Parti juga berhak untuk membuat pendirian mengenai pembubaran Parlimen untuk Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) akan datang.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan menyifatkan UMNO tidak pernah mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memperkenan pembubaran Parlimen namun perkara itu juga penting bagi memperkasakan parti untuk menghadapi pilihan raya.
“Ucapan presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) banyak menekankan persiapan parti menjelang PRU-15 tetapi pada masa yang sama mendokong Perlembangaan yang meletakkan hak pembubaran Parlimen ini kepada YDPA.
“Datuk Seri Presiden cakap perkara itu dengan jelas dan hala tuju mesti ada hak untuk UMNO buat pendirian,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas mendengar Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala (WTCKL) hari ini.
Dalam Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpinan Agung UMNO (PAU2021) hari ini, Ahmad Zahid berkata parti tunjang masyarakat Melayu itu sangat memahami keputusan untuk membubarkan Parlimen terletak pada ketetapan Kabinet sebelum ia dipohonkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan.
Justeru kata Presiden UMNO itu pihaknya tidak akan mengganggu urusan tersebut sesuai dengan sifatnya yang menjunjung perlembagaan negara.
Dalam pada itu, Shahril sempat mengulas mengenai ucapan Ahmad Zahid.
Katanya, ucapan dasar presiden hari ini sangat jelas menyentuh agar kepimpinan negara seiring dengan parti.
“Saya nampak dalam mengupas perkara itu, ucapan dasar presiden cukup harmoni dan menekankan supaya kerajaan dan parti seiring dan ini adalah permulaan yang baik kepada perbahasan yang akan berlaku hari ini dan esok,” katanya lagi.
Ahmad Zahid hari ini mengulangi bahawa UMNO tekad untuk mendukung kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam membina semula negara yang lebih baik selepas melalui pelbagai cabaran politik dan ekonomi sebelum ini.
Malah, Ahmad Zahid berkata, kekuatan kerajaan dan parti perlu seiring dalam mewujudkan kestabilan yang berkekalan. – MalaysiaGazette