KUALA LUMPUR – Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi pemangkin semangat perpaduan dalam kalangan ahli parti.
Wakil UMNO Bahagian Pasir Mas, Kelantan, Mohd Afiq Salim berkata, ia dapat mengukuhkan kekuatan parti yang berdepan pelbagai ujian sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Selain itu, katanya, semangat supaya parti menjadi pendokong kerajaan akan meletakkan UMNO dekat di hati rakyat.
“Saya melihat ucapan dasar presiden bersifat menyeluruh, melonjak semangat ahli untuk terus bersatu padu, bekerjasama dan bersama.
“Ini penting kerana rakyat sedang berdepan pelbagai masalah dan UMNO perlu memainkan peranan untuk membantu terutamanya orang Melayu,” katanya kepada MalaysiaGazette di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini hari ini.
Mohd Afiq berkata, intipati daripada ucapan itu akan dijadikan bekalan kepada perwakilan untuk ‘buat kerja’ di kawasan masing-masing.
Menurutnya, ia sekali gus menjadikan UMNO sentiasa bersedia untuk berdepan PRU-15 dengan politik khidmat bakti seperti yang menjadi tradisi selama ini. – MalaysiaGazette