KUANTAN – Tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengaku tidak bersalah atas tuduhan meminta suapan bernilai RM18,000 di Mahkamah Seksyen 2 Kuantan hari ini.
Ketiga- tiga tertuduh, Mustapa Hashim, 58, Mohd Nazrin Mohd Nasir, 38, dan Salina Kamarulzaman, 41, mengaku tidak bersalah meminta suapan berkaitan perbekalan peralatan pejabat di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.
Kesemua didakwa meminta suapan berbentuk wang RM18,000 atau 10 peratus daripada jumlah nilai projek daripada Rajman Hashim, 49, pada antara 5 hingga 6 petang, 7 Oktober 2021 di Food Bazzar & Best Bro, Genting Permai Avenue di Bentong.
Mengikut kertas pertuduhan, suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk mereka membantu Syarikat Pendang Jaya Sdn Bhd bagi mendapatkan projek membekal, menghantar dan memasang peralatan pejabat di Akademik Latihan Pertahanan Awam Malaysia di Kajang, Selangor.
Mereka dituduh di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Aliff Shaharuzaman, menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kepada semua terduduh.
Tertuduh kedua dan ketiga, Mustapa dan Salina diwakili Peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar manakala tertuduh ketiga, Mohd Nazrin pula yang tidak diwakili peguam telah merayu agar mahkamah mengurangkan wang jaminan.
Hakim membenarkan Mustapa dibebaskan dengan jaminan RM8,000 manakala jaminan terhadap Mohd Nazrin dan Salina dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Kesemua tertuduh diberi jaminan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa ke mahkamah, serta dikehendaki melapor diri di pejabat SPRM pada setiap bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada 11 April ini turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur 9 dan 14. – MalaysiaGazette