Home Politik Serah kepada pucuk pimpinan tentukan PRU-15

Serah kepada pucuk pimpinan tentukan PRU-15

Muhamad Muqharabbin Mohktaruddin

KUALA LUMPUR – Semua ahli UMNO diminta bertenang dengan desas desus mengenai Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15).

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mohktaruddin berkata, akar umbi parti harus bertindak cerdik dan menyerahkan kuasa itu kepada pucuk pimpinan parti.

“Kita tahu bahang PRU-15 semakin dekat, jadi kita yang di bawah, harus yakin, percaya, berikan mereka masa dan serahkanlah bulat-bulat kepada lima kepimpinan atasan parti yang dketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk tentukan tarikh PRU-15 nanti.

“Tidak perlu kita yang dibawah mencurah minyak sesama sendiri kerana kerajaan kini, BN yang memimpin. Jika kita tidak sabar dan terjerit-jerit nak bubar Parlimen, rakyat akan melihat kita gila kuasa dan pasti mereka akan mengatakan yang UMNO dah berperangai seperti dulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Muqharabbin berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Ahmad Zahid yang akan meneliti setiap ucapan dasar daripada ketiga-tiga sayap iaitu Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri.

Ahmad Zahid berkata ia ekoran ketiga-ketiga sayap jelas menggesa untuk mempercepatkan PRU-15.

Dalam pada itu, Muhamad Muqharabbin berkata UMNO kini harus merapatkan saf dan fokus menyerang pembangkang.

“Kita mesti menyatakan dan menguar-uarkan kepada rakyat dan akar umbi, kerajaan yang diteraju BN di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri sekarang ini, sebenarnya sudah nampak sinar dalam menstabilkan ekonomi negara dan juga telah berani mengutamakan rakyat.

“Lihat sahaja apabila BN diberikan kuasa majoriti memerintah negeri Melaka dan Johor kini, ramai pelabur sudah kembali ke Malaysia dan berminat untuk melabur. Ditambah lagi dengan pembukaan sempadan negara bermula 1 April nanti dan juga permohonan I-Sinar yang diluluskan serta Bantuan Keluarga Malaysia yang diumumkan sama pada hari I-Sinar dimaklumkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette