KUALA LUMPUR – UMNO harus terus memayungi anak bangsa dan rakyat jelata untuk dijadikan tempat bergantung harap.
Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, sebagai arkitek peneraju pembangunan negara – UMNO perlu menyediakan tawaran dasar yang lebih sesuai demi menjamin masa depan negara yang lebih baik.
Justeru, katanya, Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam jelas menggambarkan aura kebangkitan parti pada era milenium ini.
Katanya, pucuk pimpinan telah menggariskan beberapa keperluan parti yang perlu dipenuhi bagi meraih mandat rakyat sebagai persediaan ampuh menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Kita Pemuda UMNO melihat warga UMNO seharusnya mengambil serius mengenai soal menerajui reformasi dan pembaharuan.
“Ini perlu dilakukan dengan menawarkan perjanjian baharu kepada rakyat berpandukan lima daya seperti diumumkan Presiden dan turut merangkumi tiga saranan dari Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki,” katanya di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, pada era memacu kestabilan negara ini, Pemuda UMNO berpendirian bahawa ‘Agenda Bersama Untuk Masa Depan Bersama’ adalah penting untuk digagaskan.
Ini katanya, demi mengembalikan keyakinan majoriti rakyat kepada UMNO sebagai satu-satunya institusi bangsa yang mampu memenuhi aspirasi negara bangsa.
“Warga UMNO sudah bersedia. Jentera UMNO juga sudah lama bangkit. Aspirasi rakyat yang dahagakan kestabilan masa depan yang lebih terjamin menjadi katalis terbaik untuk UMNO terus unggul di persada politik negara.
“UMNO tidak lagi wajar menoleh ke belakang, kita perlu mara melangkah demi agama, bangsa dan negara.
“Insya-Allah, kita generasi Pemuda UMNO #BangkitKembali akan teguh berada di barisan hadapan sebagai benteng utuh perencana dan penggerak parti dan terus berpencak di medan perjuangan demi masa depan anak bangsa,” katanya. – MalaysiaGazette