Home Politik PRU-15: Keputusan mesti ikut konsensus pemimpin UMNO – Reezal Merican

PRU-15: Keputusan mesti ikut konsensus pemimpin UMNO – Reezal Merican

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican beramah mesra dengan petugas media pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2022.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican beramah mesra dengan petugas media pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Segala keputusan yang akan dibuat kearah Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) mesti berlandaskan konsensus antara pemimpin utama UMNO.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, langkah itu perlu bagi memastikan UMNO berada pada landasan yang betul dan lebih kuat bagi menghadapi PRU-15.

“Perjalanan untuk UMNO sampai ke garis penamat (PRU-15) itu akan jadi lebih terjamin cuma pemimpin ini kalau berada bersama-sama mereka boleh bawa bacaan jauh yang lebih tepat.

“Kadang-kadang kita datang pada dua sudut pandang yang berbeza, menteri datang dati sudut pandang berbeza, ahli Parlimen juga dari sudut yang berbeza, yang tak jadi ahli Parlimen pun berbeza malah yang ada di akar umbi juga berbeza.

“Kalau diharmonikan dan bawa ke satu titik pertemuan, pastinya UMNO akan berada dalam keadaan jauh lebih kuat,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2021) hari ini.

Justeru itu, Reezal Merican yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, sudah tiba masa untuk UMNO memgambil langkah ke hadapan dengan menyatupadukan pemimpin dan ahli-ahli dalam saf yang sama.

“Kita nak hindarkan daripada ada mana-mana kluster, tak ada lagi kluster mahkamah, kluster menteri, kluster menang, kluster kalah, kluster kayangan.

“Yang ada dalam UMNO ini hanyalah kluster kasih sayang yang memiliki tekad utama membawa UMNO jauh lebih dominan dan untuk kestabilan negara dan kerajaan, yang penting rakyat akan dapat manfaat,” katanya lagi.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bercakap kepada media selepas melawat pusat media pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2022.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bercakap kepada media selepas melawat pusat media pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2022.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Anti Lompat Parti perlu diperincikan secara teliti dan harus mendapatkan pandangandaripada sesi libat urus pelbagai pihak terlebih dahulu.

Beliau turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak sehingga menjadi mainan politik bahawa kerajaan sengaja menangguhkan RUU terbabit.

Katanya, RUU itu tetap akan dilaksanakan berikutan Perkara 2.1 dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan pusat pada September lalu.

Tambahnya, pindaan bagi perkara tersebut mesti dilaksanakan dalam tempoh tidak lewat daripada Mesyuarat Pertama Parlimen 2022.

“Tiada penangguhan namun banyak perkara yang perlu diperincikan berdasarkan pemahaman menerusi MoU persefahaman antara kerajaan dan pembangkang. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob amat komited untuk wujudkan Akta Lompat Parti cuma ia perlu diperhalusi sebaiknya.

“Sebagai contoh, sekiranya calon itu menang sebagai bebas dan menyertai parti lain, adakah itu dianggap sebagai lompat parti atau sekiranya sesuatu parti itu melompat kepada gabungan lain. Perkara seperti ini antara yang masih belum diperhalusi,” katanya.

Terdahulu, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Anti Lompat Parti dan Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri Sehingga 10 Tahun akan dibentangkan pada sidang khas Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia akan dibentangkan sebaik sahaja pendapat dan input daripada semua pihak diperoleh, sesi libat urus selesai serta sekiranya Jemaah Menteri meluluskan. – MalaysiaGazette