Home Nasional Sultan Selangor seru graduan UPM sanjung tinggi Perlembagaan

Sultan Selangor seru graduan UPM sanjung tinggi Perlembagaan

Sultan Selangor merangkap Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menyampaikan titah ucapan pada Istiadat Konvokesyen Ke-45 UPM ketika di Serdang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 19 MAC 2022.

SERDANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj menitahkan graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk terus berjuang demi martabat ibu bapa, keluarga dan negara ke peringkat yang lebih tinggi.

Baginda yang juga Canselor UPM mengingatkan graduan universiti itu untuk menyanjung tinggi Perlembagaan dan undang-undang negara agar bebas daripada salah laku yang boleh mencalarkan maruah keluarga, bangsa dan negara.

Baginda bertitah sedemikian berharap para graduan menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan berintegriti tinggi semasa merasmikan Istiadat Konvokesyen UPM ke-45 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS).

Sultan Selangor bertitah, UPM kini berada di tangga ke 143 dalam penarafan QS World University Ranking 2022, melonjak 233 anak tangga dibandingkan tangga ke-376 pada tahun 2015.

“UPM berjaya mengekalkan lagi kedudukan sebagai university terbaik di Malaysia dan ke-27 taraf terbaik dunia dalam penarafan UI-GreenMatric World University Ranking 2021 berdasarkan usaha penjagaan kampus hijau dan pengurusan alam sekitarnya”

“UPM turut dilantik menjadi tuan rumah the 7th International Workshop on UI-GreenMatric World University Rankings 2021” titah beliau semasa melangsungkan istiadat tersebut.

Sultan Selangor merangkap Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj berjalan keluar selepas Istiadat Konvokesyen Ke-45 UPM ketika di Serdang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 19 MAC 2022.

Pada konvokesyen ke-45 yang akan berlangsung sehingga Khamis ini, UPM meraikan seramai 6,142 graduan yang berjaya menamatkan pengajian di UPM dan daripada jumlah tersebut, 484 merupakan graduan PhD, 1,611, graduan Master, 3,564 graduan Ijazah Sarjana Muda (Bacelor), dan 483 pemegang Diploma.

Baginda berkenan dan mengurniakan Pingat Emas Canselor kepada pelajar Bacelor Kejuruteraan Awam dengan Kepujian, Fakulti Kejuruteraan, Iskandar Zulkarnain Adamulhasza, dan Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera) kepada Eddy Irwan Sidek, Bacelor Pendidikan Sains Pertanian, dan (bukan Bumiputera), Vaishnavi Nagaraja, Bacelor Sains Matematik Dengan Kepujian.- MalaysiaGazette