KUALA LUMPUR – Perit yang dialami sewaktu kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) menjadikan UMNO Sabah bangkit menyusun semula parti di negeri itu.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, semua itu adalah selepas 25 rakan partiĀ lain memilih untuk membawa haluan sendiri.
Katanya, beliau bersama tiga lagi rakannya yang masih setia dengan parti ‘merangkak’ sebagai pembangkang.
“Kita berdepan dengan kerajaan tetapi kita tidak sedar bahawa yang meninggalkan kita adalah pemimpin tetapi akar umbi masih setia bersama.
“Ini yang menaikkan semangat kita sehingga mencapai kemenangan majoriti pada Pilihan Raya Kecil Kimanis dan Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Yakub berkata, UMNO Sabah benar-benar mengambil iktibar daripada kehilangan kuasa sebelum ini dan berharap Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 ini mencipta semangat baharu kepada mereka.
Beliau yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, ia termasuklah persefahaman yang padu antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Janganlah dengar hasutan orang sekeliling. Kita tahu Perdana Menteri ini ada kelompok tertentu yang cuba menghasut untuk mengadakan pemilihan parti terlebih dulu.
“Namun kita mahukan PRU dulu barulah pemilihan parti. Rumusan daripada PAU ini menjadikan UMNO ini pada keseluruhannya itu akan menjadi pasukan yang kuat,” ujarnya. – MalaysiaGazette