Home Utama PM beri jaminan tindakan dikenakan sekiranya Tommy bersalah

PM beri jaminan tindakan dikenakan sekiranya Tommy bersalah

Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri memberi jaminan tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap Tan Sri Tommy Thomas sekiranya bekas Perguam Negara itu didapati bersalah.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bergantung kepada jawatankuasa khas siasatan terhadap buku Tommy bertajuk My Story: Justice in the Wilderness yang menjadi kontroversi.

“Kabinet telah luluskan penubuhan jawatankuasa khas siasatan terhadap buku bekas Peguam Negara dan kalau ada kesalahan saya akan pasti ambil tindakan terhadap Tommy Thomas,” katanya yang juga Naib Presiden UMNO dalam sesi penggulungan Persidangan Agung UMNO (PAU) 2021 di sini petang ini.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata, penubuhan jawatankuasa itu salah satu daripada enam  perkara yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO kepadanya yang dilantik menjadi Perdana Menteri.

“Apa saja keputusan kita dalam Kabinet, saya akan pastikan pandangan dan suara UMNO diberikan keutamaan demi menjaga kepentingan rakyat,” katanya.

Dalam masa yang sama, Ismail Sabri menegaskan beliau merupakan anak jati UMNO,  justeru pegangannya terhadap parti berkenaan tidak akan berubah.

“Jati diri saya adalah jati diri UMNO. Siapalah Ismail Sabri tanpa tuan-tuan dan puan-puan. Sebab itu saya tidak akan membiarkan obor perjuangan UMNO malap, tapi terus menyala dan membakar semangat perjuangan kita bersama.

“Bertenggek di sena burung kenari, Nampak mega di tepian merbah, Berdiri di sini Ismail Sabri, Pegangan utuh tidak goyah, tidak berubah,” katanya berpantun.

Tegasnya, tanpa sokongan ahli UMNO, beliau tidak akan dapat berdiri sebagai Naib Presiden UMNO di atas pentas PAU 2021 hari ini.

Dalam ucapannya itu, Ismail Sabri menzahirkan penghargaan kepada barisan kepimpinan UMNO termasuklah Presiden UMNO, Datuk Seri  Ahmad Zahid Hamidi kerana mencalonkannya sebagai perdana menteri.

“Terima kasih kepada presiden, timbalan presiden, ahli-ahli MT dan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional yang sebulat suara mencalonkan saya sebagai perdana menteri, disokong oleh kepimpinan UMNO negeri, bahagian dan cawangan.

“Benar seperti yang diucapkan oleh Presiden UMNO dengan kerajaan dan parti harus seiring jalan.

“Dokongan dan sokongan pucuk pimpinan parti kepada jemaah Menteri UMNO akan kami buktikan bahawasanya UMNO-lah satu-satunya parti yang terbukti menjaga kepentingan agama bangsa dan tanah air serta kebajikan Keluarga Malaysia,” katanya lagi. -MalaysiaGazette