KUALA LUMPUR – Pemilihan DAP dalam Kongres Kebangsaan ke-17 parti itu esok di jangka berjalan dengan ‘aman’ tanpa banyak drama atau kejutan besar seperti sebelum ini.
Seorang pemimpin parti yang enggan namanya disiarkan memberitahu MalaysiaGazette, kemenangan besar dalam pilihan raya DAP esok pastinya akan berpihak kepada kem setiausaha agungnya, Lim Guan Eng.
Sememangnya bukanlah satu rahsia terdapat dua kem yang bakal bersaing antara satu sama lain bagi merebut 30 jawatan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) esok.
Antaranya kem Guan Eng dan satu lagi kem diketuai oleh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.
“Bagaimanapun saya difahamkan sudah ada komproni antara dua-dua kem ini beberapa hari lepas.
“Kemenangan pun kita jangkakan lebih berpihak kepada kem Guan Eng yang juga turut dibarisi oleh ‘loyalist’ beliau sejak sekian lama termasuklah pemimpin seperti Anthony Loke, Kulasegaran, Gobind Singh, Tan Kok Wai, Teresa Kok, Fong Kui Lun dan sebagainya.
”Manakala kem Kor Ming pula ada Ngeh Koo Ham, Aziz Bari, V Sivakumar dan beberapa yang lain.
“Jika betul maka Guan Eng akan menjadi Pengerusi DAP Kebangsaan manakala Loke sebagai Setiausaha Agung.
”Rasanya, rata-rata mahu kerana pimpinan yang baharu ini akan mengemudi parti untuk kemenangan besar pada PRU-15,” katanya sebentar tadi.
Sumber itu juga mendakwa, pemilihan esok juga akan lebih aman walaupun sebelum ini ada beberapa negeri yang kepimpinan negeri mempunyai isu-isu dalaman serius.
“Kita tidak mahu bercakap tentang perkara itu, isu-isu itu lebih kepada negeri dan bukanlah peringkat Kebangsaan.
”Bergaduh sekarang secara dalaman pastinya akan menyebabkan kucar kacir, bukan sahaja pimpinan parti tapi ahli juga sedia maklum. Kami perlu berdepan dengan parti lawan di luar sana yang juga kini semakin berkuasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika disoal tentang ‘kuasa’ setelah Guan Eng memberi laluan kepada setiausaha agung yang baharu, kata sumber itu, Guan Eng masih lagi akan dilihat sebagai kuasa besar yang berpengaruh dalam parti.
“Dalam DAP, Pengerusi dan Setiausaha Agung ini mempunyai kuasa mutlak itu. Kini jawatan pengerusi juga tidak akan menjejaskan apa-apa pengaruh yang ada pada Guan Eng. Pengaruh beliau dan bapanya, Lim Kit Siang sangat besar dan kuat dalam parti walaupun beliau berdepan kes mahkamah.
“Apa-apa kita lihat esok, rasanya tidak ada pergaduhan atau rasa tidak puas hati dalam keadaan konvensyen yang hanya satu hari,” jelasnya.
Setelah sembilan tahun menjadi Setiausaha Agung DAP, Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan serta Ketua Menteri Pulau Pinang sebelum ini akan menjawat jawatan baharu dalam CEC.
Untuk makluman Guan Eng tidak boleh kembali menjawat jawatan itu kerana had maksimum tiga penggal seperti tertakluk dalam perlembagaan DAP.
Seramai 4,149 perwakilan akan menghadiri kongres sehari secara fizikal itu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam dan mengundi dalam CEC yang akan memegang jawatan parti. -MalaysiaGazette