RIYADH – Perikatan tentera Arab memintas dan memusnahkan serangan peluru berpandu dan dron yang dilancarkan militan Houthi lewat malam tadi.
Menurut perikatan itu, serangan disasarkan ke loji penyahgaraman Al-Shaqeeq dan kemudahan Aramco di Jazan, manakala serangan dron disasarkan ke stesen minyak di bandar Khamis Mushayt, lapor Arab News.
Perikatan pertahanan udara itu memintas dan memusnahkan dron dan peluru berpandu yang disasarkan ke kawasan awam di Jazan, lapor Saudi Press Agency (SPA) dan Al-Ekhbariyah.
“Kami mengikuti pelancaran serangan melepasi sempadan itu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa,” kata kenyataan tersebut.
Rakaman video dan imej yang disiarkan pada akaun Twitter SPA menunjukkan stesen tenaga Dhahran Al-Janoub berhampiran Jazan turut diserang – dengan agensi berita itu menyiarkan gambar serta klip video yang memaparkan anggota bomba sedang memadamkan kebakaran.
Gambar-gambar menunjukkan rumah dan kenderaan mengalami kerosakan.
Al Ekhbariyah TV memetik perikatan itu berkata, peluru berpandu tersebut menyasarkan orang awam tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Pada minggu ini, Houthi menolak jemputan Majlis Kerjasama Teluk yang mengandungi enam negara untuk menghadiri perbincangan konflik Yemen di Riyadh pada 29 Mac ini.
Arab Saudi mengetuai perikatan ketenteraan di Yemen dalam usaha menyokong kerajaan yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Konflik yang bermula pada pertengahan 2014 itu mengakibatkan beratus ribu nyawa melayang dan berjuta-juta lagi hilang tempat tinggal dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyifatkannya sebagai krisis kemanusian paling buruk.
Houthi yang disokong Iran sering kali menjadikan lapangan terbang, kemudahan minyak di Arab Saudi sebagai sasaran selain menyerang kemudahan-kemudahan di Emiriah Arab Bersatu. – Agensi.
(https://www.arabnews.com/node/2045911/saudi-arabia)