SEREMBAN – Sebuah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Temiang, di sini, awal pagi ini.
Ketua Balai Bomba Seremban, Timbalan Penguasa Bomba Mohammad Idris berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 2.06 pagi, dan sebaik tiba api didapati sedang marak memusnahkan rumah papan itu.
Beliau berkata, kira-kira 90 peratus daripada rumah berkenaan musnah akibat kebakaran, namun kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa, kerana semua penghuni rumah sempat keluar menyelamatkan diri.
“Kebakaran itu turut memusnahkan sebuah bengkel besi berkeluasan 40×80 kaki persegi di sebelah rumah berkenaan, dan api berjaya dikawal setengah jam kemudian,” katanya kepada Bernama di sini.
Difahamkan rumah itu didiami tujuh sekeluarga termasuk empat kanak-kanak. – Bernama