Home Nasional Pengurusan Bersatu harus disusun semula hadapi PRU15

Pengurusan Bersatu harus disusun semula hadapi PRU15

Datuk Jemale Paiman ( tengah) menyatakan hasratnya yang mahukan Presiden Bersatu,Tan Sri Muhyiddin menyususn semula parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

JOHOR BAHRU – Pengurusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di semua peringkat perlu disusun semula bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung Kelab Veteran Bersatu Malaysia (KVBM), Datuk Jemale Paiman berkata, ini kerana pentadbiran parti di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan Pusat dilihat tidak konsisten selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini.

“Kita memerlukan parti menjadi kuat semula, barulah kita boleh laksanakan visi dan misi kita yang jelas untuk rakyat serta negara, sekali gus selari dengan tuntutan Perlembagaan parti dan kehendak Perlembagaan negara,” katanya.

Beliau yang juga merupakan antara pengasas Bersatu berkata demikian pada sidang akhbar di Larkin, hari ini.

Hadir pada sidang media Bendahari KVBM, Saifulanuar Yahya; Ketua Penerangan, Haron Ariffin serta Ahli Jawatankuasanya Norzri Mokhtar dan Lokman Abu.

Beliau berkata, KVBM akan terus menyokong Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memimpin parti tersebut.

Dalam pada itu, KVBM mendesak kerajaan tidak mengadakan PRU15 sehingga tamat tempoh pada 2023.

Menurut Jemale, kerajaan perlu memberi tumpuan terhadap kebajikan, keharmonian, pendidikan dan ekonomi rakyat walaupun terdapat desakan untuk membubarkan Parlimen pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang berakhir semalam.

Sementara itu, Jamale menyatakan sokongan terhadap pelantikan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor yang baharu dan berharap dasar-dasar yang baik dilaksanakan sebelum ini termasuk Pelan Pembangunan Mampan Johor (PPMJ) 2019-2023 diteruskan.

Bekas Pengerusi Perancangan Pembangunan Negeri Johor itu berkata, ini kerana PPMJ masih relevan dan wajar diteruskan dengan melakukan penambahbaikan bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa. – MalaysiaGazette