Home Nasional Kakitangan awam, nelayan didakwa edar dadah

Kakitangan awam, nelayan didakwa edar dadah

Ahmad Fadhil Ghazali, 34 tahun bersama Mohd Firdauz Ishak, 29 tahun didapati mengedar Syabu seberat 5.377 kilogram.

JOHOR BAHRU – Seorang anggota penguatkuasa dan nelayan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan mengedar dadah jenis Syabu pada 6 Mac lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Salini.

Mengikut kertas pertuduhan, anggota penguatkuasa, Ahmad Fadhil Ghazali, 34, bersama Mohd Firdauz Ishak, 29, yang merupakan seorang nelayan didapati mengedar Syabu seberat 5.377 kilogram pada tarikh tersebut.

Kedua-dua tertuduh, didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 9 malam di pantai Forest City, Iskandar Puteri, Johor Bahru.

Pertuduhan dibacakan mengikut seksyen 39B (1) (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori atau penjara seumur hidup, beserta sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq Sim.

Mahkamah menetapkan 22 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan Borang laporan kimia.

Kedua-dua tertuduh merupakan antara yang berjaya ditahan polis Jabatan Siasatan Jenayah dan Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada 15 Mac lalu.

Penahanan itu melibatkan sembilan pegawai dan anggota sebuah agensi penguatkuasaan dalam dua servuan berasingan di Johor Bahru dan Putrajaya.

Pengarah JSJN, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam laporan media sebelum ini memberitahu, modus operandi sindiket itu adalah menjual 50 kilogram dadah jenis Syabu yang dirampas dalam operasi di perairan Selat Melaka. – MalaysiaGazette